"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 rakyat Malaysia ditahan seludup kokain lebih RM3 juta ke Jepun

Nor Azizah Mokhtar

KUALA LUMPUR: Lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, Sabtu lalu selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta).

Kesemua suspek dipercayai menyembunyikan dadah berkenaan di bawah pelapik kasut ketika menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum kegiatan mereka terbongkar menerusi pemeriksaan kastam sejurus tiba di Jepun.

Menurut laporan Fuji News Network (FNN), kegiatan itu terbongkar selepas pegawai kastam mengesyaki seorang suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal.

Pemeriksaan menemukan kokain di bawah pelapik kasut dua suspek sebelum tiga lagi individu yang dipercayai tiba bersama mereka turut dikesan.

Tokyo Reporter yang memetik Nippon News Network (NNN) melaporkan, ketiga-tiga individu terbabit turut menggunakan kaedah sama untuk menyembunyikan dadah.

Menurut TBS News DIG, setiap suspek menyembunyikan kira-kira satu kilogram kokain dengan 500 gram masing-masing diletakkan di bawah pelapik kasut kiri dan kanan.

Seorang suspek berusia 24 tahun mendakwa menerima tawaran upah RM8,000 seorang menerusi aplikasi Telegram untuk membawa dadah ke luar negara.

Suspek turut mendakwa dibekalkan sepasang kasut bagi tujuan menyembunyikan dadah berkenaan.

Sementara itu, laporan NHK menyebut empat suspek mengaku terhadap dakwaan ketika disoal siasat, manakala seorang wanita berusia 25 tahun menafikan pembabitannya.

Wanita terbabit mendakwa tidak mengetahui bungkusan yang dibawanya mengandungi kokain.

Polis Metropolitan Tokyo kini menyiasat kemungkinan kumpulan itu direkrut sindiket jenayah berpangkalan di Malaysia bagi menjalankan kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa.

Tiada ulasan: