"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Senarai nama ‘team’ MB Negeri Sembilan tular

NOR AINNA HAMZAH

SEREMBAN – Desas-desus mengenai senarai nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan dua kelompok kepimpinan di Negeri Sembilan kembali menjadi perhatian susulan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar, hari ini.

Senarai nama yang dikaitkan dengan kelompok Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ismail itu mula diperkatakan dalam kalangan pemerhati politik negeri, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai hala tuju kepimpinan baharu kerajaan negeri.

Berdasarkan senarai tidak rasmi yang diperkatakan, kelompok dikaitkan dengan Jalaluddin merangkumi lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Siow Kong Choon (Chennah), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Datuk Mustapha Nagoor (Palong), Muhammad Sufian Maradzi (Seri Menanti), Datuk Saiful Yazan Sulaiman (Johol), Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Sementara itu, kelompok yang dikaitkan dengan Ismail pula dikatakan melibatkan 10 ADUN iaitu Ismail (Juasseh), Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng), Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling), Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Datuk Seri Mohamad Hasan (Rantau), Suhaimi Aini (Kota), Koh Kim Swee (Repah), S. Leza Md Yasin (Pilah) dan Siti Nur Umaira Hasim (Labu).

Perkembangan berkenaan menarik perhatian kerana komposisi sokongan dalam kalangan wakil rakyat dilihat menjadi antara perkara penting dalam menentukan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri selepas peletakan jawatan Ismail.

Sebelum ini, nama Jalaluddin juga pernah dikaitkan dengan spekulasi bakal menggantikan Ismail sebagai Menteri Besar, namun Ismail pada 6 November lalu menegaskan bahawa beliau masih memegang jawatan berkenaan ketika diminta mengulas dakwaan tersebut.

Pada 2 Ogos lalu, Ismail yang juga ADUN Juasseh mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9 selepas BN dan PN membentuk kerajaan negeri susulan kemenangan majoriti 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri lalu. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: