"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aneh : Bekas pesaar lafaz taat setia kepada kerajaan kudeta Perak

HUTAN MELINTANG : Dalam satu majlis yang dihadiri oleh salah seorang Exco kudeta Perak, Saarani Mohamad kejadian lucu dan aneh berlaku apabila semua orang ramai dipaksa mengucapkan taat setia menerusi lafaz ikrar diketuai oleh bekas pesara Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak, Abdul Sani Chik.

Ke mana pula orang yang belum bersara dari perkhidmatannya. Adakah hanya yang bersara sahaja, walaupun bukan banyak mana yang menyokong kerajaan kudeta di Perak dipaksa untuk melafaz taat setia kepada mereka.

Pada kesempatan itu Saarani berkata kerajaan rampasan kuasa akan terus melaksanakan program untuk kebajikan rakyat sekalipun menerima tentangan daripada Pakatan Rakyat.

Beliau mengatakan Pakatan Rakyat tidak dapat menerima hakikat mereka sudah kehilangan kuasa. Sedangkan Saarani tidak sedar kerajaan yang disokongnya sekarang diambil secara haram melalui satu proses rampasan kuasa.

Pada kesempatan itu beliau mengatakan kerajaan kudeta adalah sah dari segi undang-undang tanpa mengatakan apakah hujah yang menyokong kenyataan itu.
                                                                                                                                          http://idhamlim.blogspot.com/

PENJELASAN AGUS MENGENAI KONTROVERSI SIDANG DUN BAWAH POKOK


Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di bawah pokok baru-baru ini adalah satu perkembangan politik yang luar biasa di Malaysia. Pensyarah Sains Politik UKM, Prof. Madya Mohammad Agus Yussoff, adalah antara banyak pihak yang dihubungi oleh media untuk memberikan komennya. Bagaimanapun, komen Agus yang sepenuhnya tidak disiarkan oleh pihak media. Ini menyebabkan Agus dilanda kontroversi.

Di bawah ini adalah kenyataan penuh Agus yang diemailkan kepada blog ini untuk tatapan sahabat-sahabat sekalian. Moga-moga kekeliruan sebelum ini difahami oleh semua pihak, di manakah silap dan puncanya. – Ruhanie Ahmad.

Assalamualaikum wrth,

Terima kasih kerana telah dua kali berturut-turut dalam dua minggu ini laman blog Datuk menulis nama saya dan mengulas pandangan saya tentang isu politik semasa. Pertamanya, ulasan terhadap ranacangan Hujah di TV9 antara Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dengan Tan Sri Isa Samad. Keduanya, ulasan Datuk tentang pandangan yang saya berikan kepada wartawan mengenai kesahihan persidangan DUN Perak di bawah pokok -- yang Datuk namakan 'pokok demokrasi.'

Pertama sekali, perlu saya nyatakan bahawa saya tidak ingat kepada wartawan dari akhbar atau stesen TV manakah yang saya katakan bahawa sah sidang DUN diadakan di atas pokok. Ini kerana pada hari itu, terlalu ramai wartawan yang menghubungi saya untuk bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan dengan perkembangan politik semasa.

Kedua, saya mengaku saya berkata bahawa sah diadakan sidang DUN, bukan sahaja di bawah pokok, tetapi juga di atas pokok. Kepada wartawan yang sama juga saya jelaskan beberapa perkara berkaitan dengan rasa isi saya tentang politik supaya dituliskan, jika boleh, kerana saya sedih melihatkan krisis politik yang berlaku. Namun, apa yang saya katakan kepada wartawan berkenaan tidak dimasukkan secara sepenuhnya, melainkan disensasikan dengan satu kenyataan -- SIDANG DI ATAS POKOK PUN SAH.

Saya memang menyatakan sidang sah diadakan di mana-mana, tapi dengan tiga syarat utama seperti berikut: (i) sidang itu mengikuti Peraturan Tetap Dewan; (ii) sidang tersebut mengikuti undang-undang Tubuh Negeri, dan (iii) sidang berkenaan ditetapkan oleh Speaker. Malangnya, ketiga-tiga syarat yang saya nyatakan ini tidak dilaporkan oleh pihak akhbar.

Saya juga ditanya oleh pihak akhbar, adakah perkenan Sultan diperlukan? Saya jawab, perkenan Sultan adalah wajib sekiranya sidang lepas adalah prorogue (dihentikan), tetapi, tidak perlu sekiranya sidang lepas 'was adjourned' (ditangguhkan). Hal ini dilaporkan oleh media berkenaan.

Selepas itu saya ditanya, sah atau tidaknya persidangan tersebut? Saya jawab persoalan ini sukar untuk dijawab dalam bentuk afirmatif kerana ia sudah menjadi satu krisis politik dan bukan lagi undang-undang. Jadi, payah untuk diselesaikan secara undang-undang, melainkan melalui penyelesaian politik. Alasan saya ialah, sekiranya melalui tindakan undang-undang, kedua-dua pihak yang bertelagah sukar untuk menerima keputusan mahkamah. Maksudnya, jika mahkamah memutuskan PR yang menang, maka BN sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Sekiranya mahkamah memutuskan BN menang, PR pula sudah tentu tidak puas hati dengan keputusan tersebut. Maka konflik ini berterusan. Dan ini tidak baik untuk mahkamah, untuk rakyat dan untuk kestabilan politik negara.

Atas alasan itu, saya pun menyatakan rayuan saya supaya kedua-dua pihak yang bertikai dalam krisis ini mengambil dua pendekatan utama (kenyataan saya ini langsung tidak dilaporkan). Pertama, berunding dan bersedia untuk berkompromi dengan apa cara sekalipun untuk membentuk kerajaan gabungan dengan melupakan segala sejarah pahit antara hubungan mereka. Kedua, menyatakan bahawa pemimpin politik perlu berjiwa besar, berunding bersama-sama dan kedua-duanya sekali -- YAB Dr Zambry dan YAB Ir Nizar mengadap Tuanku Sultan memohon perkenan baginda untuk memperkenankan pembubaran Dewan.

Dalam percakapan telefon dengan pihak akhbar tersebut juga, saya tegaskan apapun keputusan DUN dan perundingan antara BN dan PR, DUN tidak akan terbubar kecuali dengan perkenan Tuanku Sultan atau telah tamat tempohnya selama lima tahun.

Begitulah antara lain, inti percakapan telefon saya dengan wartawan tentang krisis di Perak ini. Tapi, betul seperti Datuk kata, ia telah disiarkan dalam bentuk laporan terpilih yang mungkin tidak disengajakan. Apapun, kesannya tentu tidak baik kepada saya. Tidak baik kerana ia tidak menggambarkan hasrat sebenar saya untuk memberi pendidikan politik kepada rakyat. Tidak baik kerana ia tidak melaporkan pandangan sebenar saya supaya pemimpin politik kita -- sama ada dari BN atau PR -- berunding bagi membincangkan pendekatan terbaik bagi menyelesaikan krisis ini.

Jadi, apa yang perlu saya buat? Saya memilih untuk tidak berkata apa-apa, melainkan tadi pagi saya bercakap dengan wartawan NST untuk menagdu hal tentang statement saya yang dikeluarkan secara tidak lengkap. Saya juga memberitahu kepada dua kenalan rapat saya (orang politik) mengadu hal tentang isu ini yang sudah terlalu banyak dikupas oleh pemerhati, ahli akademik, peguam dan orang politik sehingga ia sudah menjadi semakin kompleks.

Sebenarnya, saya berbuat demikian kerana saya bimbang sekiranya krisis ini berlanjutan, ahli politik akan lupa untuk memberikan keutamaan kepada krisis ekonomi yang kita hadapi. Saya bimbang sekiranya kita terus berpolitik mempertahankan pandangan parti masing-masing, rakyat akan terabai dan kesejahteraan negara terjejas. Saya cukup bimbang tentang hal ini sekiranya ia boleh menjejaskan kestabilan yang kita nikmati.

Menariknya, apabila pandangan 'atas pokok saya' disiarkan, sesetengah blog -- ada yang memuji dan ada mengeji saya -- memetik dan menyiarkan kenyataan saya ini. Dengan itu, saya dapati bahawa hasrat asal saya untuk memberikan pandangan 'to educate' orang kita tentang politik supaya 'berbaik dan bertenang' sudah menjadi sebaliknya. Ini semata-mata kerana laporan terpilih yang Datuk maksudkan itu.

Tidak mengapalah soal saya dipuji atau dikeji. Itu hal yang kecil, tapi yang pastinya, saya harap Datuk sendiri, sebagai seorang bekas pemimpin UMNO, perlu memainkan peranan bukan lagi untuk mencurahkan api kepada keresahan rakyat, tapi jadilah sebagai pembimbing yang boleh membawa ketenangan kepada suasana politik yang panas hari ini.

Saya tidak boleh berperanan seperti Datuk kerana saya tidak mempunyai blog sendiri dan belum lagi berhasrat untuk mempunyainya. Saya juga tidak berhasrat untuk menjadi orang politik, dan seboleh mungkin sehingga ke tahap ini, saya hanya mahu menjadi pengulas politik yang memberikan pandangan politik berdasarkan ilmu yang saya punyai.

Kepada Datuk dan juga untuk peringatan kepada diri saya sendiri, satu perkara yang perlu kita ingati ialah pesanan Voltaire, ahli falsafah Perancis yang terkenal. Kata beliau, kesilapan kita ialah kerana "kita tidak belajar dari sejarah (baca: pengalaman)."

Sekian, terima kasih.

MOHAMMAD AGUS YUSSOFF                                                                                                                http://idhamlim.blogspot.com/

Perdagangan bahasa dan agama : UMNO menjana perniagaan pendidikan.


Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Sasterawan dan Pengkritik Sastera Melayu)

Sekarang adalah masa terbaik untuk mengkritik UMNO habis-habisan, sebelum bahasa Melayu, agama Islam dan negara ini menjadi rosak binasa di bawah tadbiran UMNO. Sekarang dengan munculnya gelombang ketuanan rakyat di mana-mana saja orang bercakap tentang politik dan pembangunan ekonomi, maka para pemimpin UMNO memberi amaran satu perang besar akan berlaku sekiranya ketuanan rakyat itu diteruskan. Kata seorang ketua parti UMNO yang juga seorang menteri, para pemimpin UMNO dan pengikutnya akan mati syahid dalam peperangan mempetahankan ketuanan Melayu.

Jika ketuanan Melayu dihapuskan, maka apakah yang ada kepada orang Melayu? Hujah ketua parti UMNO ini hanya untuk mencari sensasi, membangkitkan kemarahan, menyedapkan hati para pemimpin UMNO bahawa mereka masih relevan dalam gelombang kebencian rakyat terhadap mereka. Sebenarnya ketuanan Melayu itu sudah dikuburkan oleh UMNO sendiri apabila para pemimpin mereka kembali ke zaman kolonial untuk memperjuangkan bahasa Inggeris. Apakah rahsia yang membuat UMNO sanggup mati untuk bahasa Inggeris? Wang dan kekayaan.

Wang dan kuasa. UMNO melihat dalam bahasa Inggeris itu limpahan wang ringgit yang amat banyak, yang hanya boleh diraih dengan memperdagangkan bahasa Inggeris. Perdagangan bahasa ini terjadi apabila ketua-ketua UMNO yang memang selesa berbahasa Inggeris (walaupun bukan jenis bahasa Inggeris yang baik) melihat hanya melalui bahasa Inggeris saja perdagangan pelajaran di Malaysia boleh dicapai. Sekarang hampir semua universiti menggunakan bahasa Inggeris untuk memastikan para pelajar dari seluruh dunia boleh menggunakan kemudahan di universiti yang diperjuangkan oleh orang Melayu selama ini.

Kemakmuran baru melalui perdagangan pelajaran dengan menggunakan bahasa Inggeris memberi peluang besar kepada para pemimpin UMNO dan sekutunya untuk mendapat kekayaan dalam pelaksanaan Wawasan 2020. Orang Melayu belum lagi celik mata untuk melihat bahawa perdagangan bahasa Inggeris ini adalah tonggak utama pelaksanaan Wawasan 2020. Teknologi dan tamadun yang kononnya dijadikan prinsip Wawasan 2020 adalah berasaskan bahasa Inggeris, bukan bahasa Melayu. Jangan harap Wawasan 2020 itu akan menguntugkan orang Melayu, tetapi agenda rahsia yang ditutup daripada orang Melayu ini dapat diterima oleh orang Melayu kerana adanya konsep ketuanan Melayu yang dengannya UMNO sanggup mati syahid (mempertahankan ketuanan Melayu yang berasaskan bahasa Inggeris).

Menteri Pelajaran telah memberi jaminan, pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris akan diteruskan dengan penyesuaian yang perlu. Dasar itu tidak akan dihapuskan, kerana dasar itu menjadi tonggak dalam Wawasan 2020. Bagi orang yang tidak berfikir, tentulah aneh apabila Wawasan 2020 dikaitkan dengan bahasa Inggeris. Sebenarnya itulah hakikatnya. Wawasan 2020 telah mengkhayalkan orang Melayu dalam mimpi indah kemakmuran yang mereka akan terima nanti. Mereka tidak tahu dan tidak faham tamadun yang akan dibangunkan dalam Wawasan 2020 itu adalah tamadun Barat yang seluruhnya bersifat kebendaan.

Orang Melayu hendak diseret ke dalam kemajuan kebendaan acuan Barat, seperti Mesir dan lain-lain negeri Arab telah menerimanya. Di Mesir filem-filemnya salin tak tumpah seperti filem Barat, dan ini termasuk ciumannya. Di Malaysia sudah mula diperjuangkan perkara ini, jika filem Melayu/Malaysia mahu diterima di luar negara dalam pasaran global. Cara melakukan hal-hal seumpama ini terbuka luas dalam konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan kerajaan. Melalui Islam Hadhari, Malaysia akan dibangunkan menjadi negara maju yang bertamadun mengikut acuan Barat tadi.

Tamadun itu seluruhnya berbentuk sekular, seperti terbukti daripada cara universiti diuruskan dan dinilai. Melalui Islam Hadhari, penekanan terhadap tauhid dan syariah dikendurkan, tidak lagi diberi perhatian. Kedua-dua aspek Islam ini dianggap menghalang kemajuan kebendaan tadi, oleh itu tidak perlu ditekankan. Kini banyak sekali kita dapati ma’ahad tahfiz dibangunkan, untuk menampung keperluan melahirkan para penghafal Quran. Niat itu baik, tetapi Quran tidak dihidupkan sebagai sumber ilmu, oleh itu di universiti tidak diperkenalkan konsep ilmu yang benar berasaskan ajaran Quran dan Sunnah.

Itulah matlamat Islam Hadhari yang akan mengelirukan umat Islam nanti, malah kini pun sudah ramai yang terkeliru apabila Islam Hadhari itu dikaitkan dengan kesederhanaan Islam yang menolak keganasan. Itulah yang diminta oleh Amerika Syarikat dan Israel, supaya Islam tidak lagi menjadi cabaran kepada golongan yang menjadi musuh Islam. Dalam konteks inilah kita harus melihat peranan bahasa Inggeris yang dipertahankan begitu rupa oleh para pemimpin UMNO. Orang Melayu nanti tidak saja akan kehilangan bahasa Melayu, tetapi juga agama Islam.

Adalah aneh apabila Perlembagaan Negara yang mengaitkan bahasa Melayu dan agama Islam, cuba dihakis oleh ketua-ketua UMNO dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai tonggak dan asas pembelajaran sains dan teknologi di Malaysia. Ruhnya dan semangat agama dibuang terus untuk memastikan budak-budak sekolah yang keluar nanti terus menyokong UMNO berasaskan kejahilan tentang sejarah dan budaya Melayu dan agama Islam. Jika inilah bentuk kemajuan yang ditaja oleh Wawasan 2020, maka ia harus ditolak sama sekali. (5/3/2009)
                                                                                                                                             http://idhamlim.blogspot.com/