"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PPSMI: PM risau tekanan makin besar

Perdana menteri meminta isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diselesaikan segera kerana bimbang bantahan orang ramai makin meluas pada masa depan.

"Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti
tekanan-tekanan dan tindakan-tindakan NGO akan berterusan
dan akan menjadi isu yang lebih besar," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata kerajaan mengakui adanya desakan yang kuat daripada rakyat khusunya orang Melayu yang sedang memberi perhatian terhadap perkara terbabit.

Abdullah mengulas demonstrasi besar anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) ke Istana Negara petang ini selepas melancarkan novelDragon Fire Hammer karya penulis berusia 14 tahun, Adam Umemoto di Petaling Jaya.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan NGO bagi membincangkan perkara berkaitan PPSMI.

Bagaimanapun, tambahnya, kementerian berkenaan buat masa ini belum bersedia untuk mengumumkan bentuk keputusan yang telah diambil itu.

"Dengan adanya keputusan-keputusan peperiksaan yang boleh memberi asas kepada kementerian untuk membuat keputusan, maka saya percaya keputusan itu perlu menjadi keputusan yang baik bagi mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," perdana menteri dipetik berkata.

Pelaksanaan dasar kontroversi itu sejak 2003 mencetuskan  perdebatan hangat dan kebelakangan ini ia melimpah dalam bentuk bantahan serius, termasuk penggiat sastera Melayu dengan laporan polis, ugutan saman dan demonstrasi besar.

Kira-kira 8,000 orang yang berarak membantah PPSMI dari Masjid
Negara bagi menyerah memorandum kepada pihak Yang di-Pertuan Agong dihujani puluhan das gas pemedih mata sekitar Kampung Attap.                                                                                  -malaysiakini-

Demo anti-PPSMI dihujani gas polis

Gerakan aktivis bahasa menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencipta sejarah apabila turun ke jalan raya, mengulangi peristiwa perarakan Keranda 152 beberapa dekad lalu. 

ppsmi march 070309 crowd.jpgPeristiwa bersejarah pada 3 Mac 1967 itu bagi membantah Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), waktu itu antara lokasi penting kegiatan sasterawan dan intelektual Melayu. 

Mereka merancang mengadakan bantahan ke Parlimen. Nombor '152' merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh fasal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Hari ini, selepas 42 tahun peristiwa penting dalam perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu, kira-kira 8,000 orang berarak dari Masjid Negara selepas jam 2 petang tadi.

Mereka bagaimanapun dihujani tembakan gas pemedih mata oleh polis di sekitar Kampung Attap, hanya beberapa ratus meter dari pintu masuk utama Istana Negara. 

anti ppsmi rally 070209 climbing to palacePeserta perhimpunan itu - yang asalnya hanya dibenarkan oleh polis diadakan di masjid tersebut - melanggar arahan polis yang melarang sebarang perarakan.

Mereka berhasrat membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam pemansuhan dasar kontroversi itu yang diperkenalkan sejak 2003. 

Polis pada mulanya berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana melalui Lebuhraya Mahameru. 

Untuk memintas sekatan polis di situ, kumpulan ribuan penentang dasar tersebut - termasuk pemimpin dan penyokong PAS dan PKR - bergerak melalui jejantas depan masjid menuju ke arah Kampung Attap melalui Jalan Syed Putra.

anti ppsmi rally 070209 tear gasPolis melepaskan berpuluh-puluh das gas pemedih mata ke arah kumpulan penentang dasar PPSMI di situ bermula jam 2.40 petang sehingga memecahkan kumpulan tersebut kepada beberapa kelompok kecil. 

Suasana kelam-kabut, orang ramai yang berpakaian putih dengan tulisan merah "Mansuhkan PPSMI" dan "Selamatkan Bahasa Melayu" - sebagai lambang membantah PPSMI - di barisan hadapan bertempiaran lari. 

Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan belakang peserta perhimpunan terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju ke Istana Negara.

ppsmi march 070309 tear gas.jpgMereka bersurai seketika bagi mengelak kesan asap gas pemedih mata. Manakala sebahagian lagi terus berdegil cuba berarak ke istana walaupun diminta bergerak pulang ke masjid.

Polis antirusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan pendek menuju mahkamah syariah dari arah Jalan Syed Putra sewaktu mereka ingin pulang ke lokasi awal perhimpunan.

Sebahagian peserta demonstrasi telah kembali ke Masjid Negara selepas jam 3 petang tadi. 

Ratusan orang ramai yang berkumpul di perkarangan masjid sekali lagi ditembak dengan gas pemedih mata. Beberapa das tembakan kedengaran.

Sementara di Istana Negara, kawalan lebih 150 anggota polis dan unit pencegah rusuhan FRU, termasuk kenderaan pemancut air.

Polis membuka semula laluan hampir jam 4 petang di Lebuhraya Mahameru dari kedua-dua arah yang ditutup selama 90 minit bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

anti ppsmi rally 070209 rally bannerEmpat lelaki berusia, dijangka antara 30-an hingga 50-an, ditahan polis dan mereka dimasukkan di dalam sebuah trak di depan istana. 

Butiran lanjut belum diperolehi. UsahaMalaysiakini mendapatkan ulasan pegawai polis di situ gagal.

Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad berjaya menyerahkan memorandum anti-PPSMI.

Penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini menerima memorandum bersejarah itu di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang. 

Lima lagi pemimpin GMP yang dijadual menyerahkan memorandum tersebut tidak kelihatan, dipercayai tersekat dalam kumpulan penyokong gerakan itu.

Bercakap kepada media selepas penyerahan tersebut, A Samad berkata rombongan pemimpin GMP pada asalnya merancang ke istana dengan kereta, bagaimanapun ia gagal kerana kesesakan.

"Saya berjalan (ke istana), sepatutnya diiringi dengan motokar," katanya.

anti ppsmi rally 070209 pak samad chokesTambahnya, inilah "pengalaman pertama" matanya pedih dan melalui keadaan tolak-menolak dalam kumpulan penentang PPSMI sewaktu menuju ke istana.

"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," katanya (dua dari kanan).

Perjuangan menentang dasar ini tidak akan berhenti hari ini, katanya lagi, malah ia akan diteruskan pada masa akan datang.

Selain Ketua I Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan beberapa sasterawan Melayu, pemimpin pembangkang yang kelihatan termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Nasharuddin Mat Isa, naib presiden Mohamad Sabu, setiausaha agung Datuk Kamaruddin Jaafar, ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan naib ketua Angkatan Muda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.                                                           -malaysiakini-

Polis tembak gas pemedih mata

Azamin Amin | Foto Nasir Sudin 
KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh)
 - Menurut Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman yang berada di lokasi berhampiran Istana Negara memaklumkan bahawa Sasterawan Negara A. Samad Said dikasari sebelum diiringi ke hadapan pintu utama Istana Negara.

FRU kini katanya telah melancarkan tembakan gas pemedih mata kepada para peserta himpunan dan dalam masa yang sama pasukan anggota polis kelihatan mengejar beberapa para peserta di lokasi berdekatan stesen Keretapi KTM berdekatan Istana Negara.

Menurut beliau, kawasan sekitar Istana Negara kelihatan 'memutih' kerana lebih 100,000 orang ramai masih bertahan sungguhpun terasa bahang gas pemedih mata yang dilancarkan oleh FRU.

"Saya sudah tak nampak kawasan sekitar, mata sangat pedih kena tembakan gas...saya akan maklumkan kemudian," katanya singkat ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.Image

Dilaporkan Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pimpinan PAS termasuk para pejuang bahasa yang lain turut berada di sekitar kawasan istana negara.

Sebelum mereka berarak kira-kira jam 2.10 petang tadi, kelihatan ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Dato' Baha Zain dan Naib presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid sejak sebelum solat zohor, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Kira-kira jam 3.15 petang Lutfi memaklumkan bahawa ribuan orang ramai sudah mula berundur dari Istana Negara ke Masjid Negara kerana 'asakan' dan serangan Imageyang dilakukan oleh pihak FRU dan para peserta di minta berkumpul ke sana.

Pada 3.40 petang, Lutfi menjelaskan bahawa terdapat sedikit percanggahan maklumat bahawa A. Samad Said ditangkap berikutan suasana kelam-kabut di pekarangan sekitar Istana Negara sedangkan beliau sebenarnya diiringi pihak polis memasuki kawasan tersebut.

Namun dikatakan bahawa cara 'penahanan' untuk mengiringi Sasterawan itu dilihat agak kasar.Image

Sementara itu, kata Lutfi pihak polis sudah melepaskan berdas-das tembakan gas pemedih mata kepada orang ramai yang berkumpul di dalam Masjid Negara sehingga salah sebuah jam di masjid tersebut pecah di samping menyebabkan suasana menjadi tegang.

Kini Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Dato' Ustaz Abu Bakar Chik sedang berunding dengan pihak polis manakala ribuan orang ramai masih memenuhi pekarangan dan juga di dalam masjid

Mutakhir kira-kira jam 4.45 petang tadi, Lutfi melaporkan ribuan orang ramai yang berada di Masjid Negara telah bersurai secara beransur-ansur dan difahamkan memo bantahan dan mansuhkan PPSMI berjaya diserahkan kepada pihak istana -