"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MAS batal penerbangan ke Eropah hari ini

KUALA LUMPUR, 18 April: Malaysia Airlines (MAS) membatalkan penerbangan ke Eropah hari ini berikutan keadaan cuaca akibat letusan gunung berapi di Iceland.

MAS dalam satu kenyataan memaklumkan penerbangan yang terjejas adalah:

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke:

- London (MH4) dijadualkan berlepas 10.05 pagi

- London (MH2) dijadualkan berlepas 11.40 malam

- Amsterdam (MH16) dijadualkan berlepas 11.55 malam

- Paris (MH20) dijadualkan berlepas 11.35 malam

- Frankfurt (MH6) dijadualkan berlepas 11.50 malam

Penerbangan ke Kuala Lumpur dari:

- London (MH3) dijadualkan berlepas 12.00 tengah hari

- London (MH1) dijadualkan berlepas 10.00 malam

- Amsterdam (MH21) dijadualkan berlepas 12.00 tengah hari

- Paris (MH21) dijadualkan berlepas 12.00 tengah hari

- Frankfurt (MH5) dijadualkan berlepas 12.30 malam

Pengarah Operasi MAS Kapten Azharuddin Osman berkata MAS kini memantau ruang udara Eropah dan sentiasa berhubung bagi mendapatkan maklumat terkini dengan pihak berkuasa di negara terbabit.

“Sebaik lapangan terbang itu dibuka, kita akan menjadualkan semula penerbangan,” katanya.

Beliau berharap penumpang memeriksa terlebih dahulu status penerbangan sebelum pergi ke lapangan terbang dan menambah MAS kini turut memaklumkan pelanggannya yang mendaftarkan nombor telefon mereka mengenai pembatalan penerbangan tersebut selain pilihan perjalanan kepada mereka.

Azharuddin berkata penumpang yang penerbangannya terjejas diberi tiga pilihan iaitu wang mereka akan dikembalikan sepenuhnya, menukar tiket untuk penerbangan pada masa akan datang atau membuat tempahan untuk penerbangan sedia ada berikutnya dan menambah semua pilihan itu boleh dibuat melalui kaunter tiket MAS atau di pejabat tempahan.

“Penumpang transit boleh menuntut bahagian penerbangan yang tidak digunakan di pejabat jualan tiket MAS sebaik tiba di destinasi asal,” katanya.

Penumpang boleh mengubah tarikh penerbangan sebelum 22 April 2010 dan jadual penerbangan itu boleh ditangguhkan sehingga 31 Mei 2010.

Tuntutan bagi bayaran balik harus dibuat sebelum 22 April ini.

Beliau berkata MAS juga melihat kemungkinan mengadakan penerbangan tambahan bagi memastikan pelanggannya berupaya menyambung semula perjalanan mereka secepat mungkin.

Keadaan itu sedang dipantau dan status mengenai penerbangan pada masa depan akan dikemas kini setiap hari, katanya.

Para pelanggan yang menempah penerbangan terbabit dinasihatkan untuk meneliti perkembangan terbaru melalui www.malaysiaairlines.com di bawah tajuk ‘‘Tempahan/ Status Penerbangan’’.

-Bernama-

Dr Pornthip tidak hadiri inkues Teoh Selasa ini

Pakar patologi terkemuka Dr Pornthip Rojanasunand tidak akan datang ke Kuala Lumpur untuk memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock apabila ia disambung Selasa ini.

teoh beng hock inquest 070809 malik imtiaz.jpgPeguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Selangor hari ini mengesahkan bahawa Dr Pornthip tidak dapat menghadiri inkues tersebut.

"Setahu saya, (beliau) tidak datang Selasa ini," kata Malek.

Malik telah memfailkan permohonan bagi pihak kerajaan Selangor kepada Mahkamah Majistret Shah Alam Khamis lalu untuk menangguhkan inkues berkenaan.

Menurut permohonan itu, kerajaan Selangor memerlukan lebih banyak masa untuk menjamin kehadiran pakar patologi Thailand itu.

Kerajaan Selangor telah menulis kepada Kementerian Kehakiman Thailand, memberi jaminan keselamatan Dr Pornthip sekiranya beliau datang ke Malaysia untuk memberi keterangan di inkues tersebut, tetapi belum menerima sebarang jawapan setakat ini.

Ekoran ketidak hadiran Dr Pornthip itu, satu perkara lain dijangka dibangkitkan di inkues Selasa ini - iaitu
permohonan peguam Karpal Singh untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz.

Usul supaya Nazri dikenakan tindakan menghina mahkamah itu, disokong oleh affidavit yang difailkan oleh Teoh Meng Kee, yang merupakan adik Beng Hock.

Nazri dipetik oleh
Malaysiakini sebagai berkata: “Dia pembohong. Dia menipu pada inkues”.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa pakar patologi itu mungkin tidak tidak akan hadir memberi keterangan dalam inkues Beng Hock apabila ia bersambung Selasa ini, menurutnya, kerana 'tekanan politik' dari kerajaan Malaysia.

Tiga hari kemudiannya, beliau
bersetuju memberi keterangan pada inkues Teoh Beng Hock jika ada jaminan keselamatannya daripada kerajaan Malaysia.

NONE

Tidak diketahui sama ada kerajaan Malaysia telah mengeluarkan jaminan bertulis kepada Dr Pornthip berhubung perkara itu.

Dr Pornthip hadir di bedahsiasat kali kedua selepas mayat Teoh digali semula November lalu ekoran keterangannya - berdasarkan kepada foto yang dirakamkan sewaktu bedahsiasat pertama - bahawa Teoh mungkin dicekik sebelum jatuh dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bedah siasat kedua itu dilakukan oleh Dr Shahidan Md Noor dari Hospital Sungai Buloh. Selain Dr Pornthip yang mewakili kerajaan Selangor, ia turut dihadiri Dr Peter Venezis - pakar patologi British yang mewakili SPRM.

Dalam keterangannya bulan lalu, Shahidah berkata, berdasarkan bedahsiasat kedua itu, tiada kemungkinan yang Teoh dicekik, manakala Dr Venezis akan memberi keterangan pada 26 dan 27 April ini.

-malaysiakini-

Baru kami sedar, BN tidak minat bela rakyat

Azim Fitri

KOTA KINABALU, 18 April: “Sekarang kami baru sedar, BN memang tidak berminat untuk membela rakyat. Kami tertipu dan ditipu oleh para pemimpin BN,” kata seorang anak muda di Kampung Bakau, Likas yang mahu dikenali sebagai Jaidin.

Sehubungan itu, beliau mahu pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor menolak BN dan menyokong Pakatan Rakyat agar peristiwa yang menyayat hati di kampung itu baru-baru ini tidak berulang di Hulu Selangor.

Ini ekoran tindakan kejam Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri meroboh rumah-rumah penduduk setinggan di kampung itu yang amat menyayat hati dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila oleh penduduk.

Tanpa belas kasihan, para pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama anggota Rela meroboh satu demi satu rumah penduduk yang rata-ratanya miskin dan daif bermula 12 April lalu yang dijangka berakhir 24 April ini.

Paling menyedihkan kakitangan DBKK dan Rela tergamak meroboh sebuah rumah ketika penghuninya sedang menikmati juadah makanan mereka.

Tidak cukup dengan itu, orang-orang suruhan kerajaan BN ini telah merosakkan harta benda penduduk seperti barangan elektrik, perabot dan sebagainya.

“Selama ini saya dan keluarga setia menyokong Barisan Nasional tetapi kenapa ini balasan yang kami terima? Saya ada sembilan orang anak dan enam orang masih bersekolah. Rumah saya diroboh dan sekarang kami tidak tahu mahu tinggal di mana,” kata Nasron yang tinggal bersama keluarga di sebuah pondok sempit dan usang.(Gambar bawah)

Dengan nada sebak Nasron memberitahu: “Kami ini seperti tiada harga, dibuat macam binatang. Lebih teruk lagi daripada Yahudi. Kami dihalau tanpa bayaran pampasan satu sen pun. Saya disuruh ke Telipok Ria (perumahan rakyat) tetapi saya perlu membayar wang deposit sebanyak RM700.

“Itu belum campur kos pendawaian elektrik yang lebih kurang kosnya RM2,000. Manakala anak saya bersekolah di Kampung Likas, tambang seorang menjadi RM80 sebulan. Maka dengan enam orang anak kos tambang sekolah sudah mencecah RM480 yang mana saya sendiri tidak mampu sediakan semua itu”.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Bakau, Nasir Ahid penduduk telah mendiami di situ selama 30 tahun iaitu awal tahun 1980-an lagi.

Pada waktu itu, katanya penduduk yang berasal dari Semporna, Kudat dan Kota Marudu telah datang meneroka dan membina perkampungan di tanah paya seluas 23 ekar. Kesemua mereka Bumiputera malahan pengundi Kampung Bakau saja berjumlah 3,000 orang.

“Pada masa itu, salah seorang ahli JKKK telah mempelawa saya membina rumah di sini dengan keluasan 30 x 40 kaki. Kebenaran yang diberikan membolehkan saya membina rumah untuk kami sekeluarga menumpang teduh dan meneruskan kehidupan,” kata seorang pesara polis yang tidak mahu dikenali.

Kini beliau telah bersara manakala isterinya bekerja sebagai tukang sapu dengan gaji sebanyak RM17 sehari.

“Apabila kerajaan mahu meroboh rumah kami, saya tidak tahu mahu ke mana kerana saya tidak mempunyai tanah dan wang,” katanya.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Radin memberitahu: “Saya membuat panggilan kepada Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Jumat Idris untuk memohon bantuan kerana penduduk Kampung Bakau hidup kegelapan setelah pihak SESB memotong bekalan elektrik sejak Isnin lagi. Lantas Jumat menjawab ada baiknya juga hidup dalam kegelapan,” katanya yang tidak berpuas hati dengan lagak sombong pemimpin Umno itu.

Robohnya rumah-rumah Kampung Bakau itu diiringi dengan tangisan dan hancur berkecainya harapan penduduk untuk terus menikmati kehidupan yang aman dan damai.

Suatu ketika dahulu, apabila menjelang pilihan raya, wakil rakyat Dun Karambunai sekarang, Jainab Ahmad telah memberi jaminan bahawa nasib penduduk kampung itu akan dibela dan dipertahankan.

Namun apabila rumah-rumah mereka telah ranap diroboh, wakil rakyat tidak muncul-muncul. Kini semuanya itu ternyata hanya janji-janji kosong belaka.