"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

M.Rajoli Berada Dalam Keadaan Nazak

M. Rajoli
PETALING JAYA: Pelakon veteran M. Rajoli, 65, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Ampang Indah, Ampang selepas dimasukkan ke hospital itu petang Khamis.
Menurut anak sulungnya, Siti Zaleha, 34, yang dihubungi mStar Online, kira-kira pada pukul 8 malam Jumaat, ayahnya dimasukkan ke hospital itu selepas mereka mendapati keadaannya semakin uzur.
Pada waktu ini, M. Rajoli berada dalam keadaan nazak dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sejak dimasukkan ke hospital petang Khamis.
"Ayah dimasukkan ke hospital pada petang semalam (Khamis) selepas kami mendapati dia tidak dapat membuka mata dan tidak boleh bergerak.
"Pada waktu ini, apa yang boleh saya katakan memang keadaan ayah tenat dan bergantung sepenuhnya pada alat bantuan kerana dia tidak boleh bernafas secara normal lagi," katanya.
Tambah Zaleha semua ahli keluarga termasuk empat anaknya telah berkumpul di hospital sejak semalam lagi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Semua ahli keluarga termasuklah adik-beradik ayah memang sudah berkumpul dan menjaganya di hospital sejak dia dimasukkan ke hospital. Kami sekadar bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan," katanya.
Sempat ditanya sama ada isteri kedua yang juga pelakon Wan Chik Daud hadir ke hospital atau ada menghubungi pihak keluarganya, Zaleha berkata, dia tidak nampak dan enggan mengulas lanjut.
Pengesahan daripada Zaleha mengenai keadaan sebenar M. Rajoli itu sekaligus menyangkal khabar angin yang tersebar kononnya pelakon veteran itu telah meninggal dunia malam Jumaat.
M. Rajoli disahkan menghidap menghidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma sejak tiga tahun lalu dan dijaga sepenuhnya oleh isteri pertamanya, Hassimah Mat Din.

Pembukaan Sekolah Hamil, Ulama & Ahli Politik Anggap Galak Zina

SHAH ALAM 17 SEPT: Ulama dan pimpinan politik Islam bimbang pembukaan sebuah sekolah di Jasin, Melaka yang bertujuan menempat pelajar hamil, hanya membawa mesej menggalakkan perbuatan zina.

Mereka sebaliknya berpendapat usaha pencegahan terhadap gejala sosial terutama amalan seks bebas, harus dilipat ganda tetapi pembukaan sekolah itu membawa golongan ke arah bertentangan.

Bercakap kepada TV Selangor, Pengerusi Sekratariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ghani Shamsuddin berkata usaha kerajaan Melaka itu tidak relevan dan patut ditarik balik.

"Pelajar pun belum daftar, buat apa bina sekolah? Apa yang mahu dibuat?" katanya yang lebih percaya terhadap usaha mentarbiah pelajar lebih berkesan bagi menangani gejala seks bebas.

Beliau khuatir pembukaan sekolah berkenaan memberi isyarat salah di kalangan remaja yang menjadikan mereka lebih cenderung melakukan zina lantaran tidak lagi perlu bimbang faktor persekolahan.

"Jadi, remaja tidak lagi takut (melakukan seks haram) kerana kalau termengandung pun, mereka tahu ada sekolah yang terima mereka," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kesal kerana kerajaan Melaka tergesa-gesa dan tidak mengadakan perancangan teliti sebelum membuka sekolah berkenaan.

Mengakui remaja yang terlanjur perlu dibantu, beliau yakin ada banyak cara lain boleh difikirkan tetapi berpendapat, pembukaan sekolah berkenaan tidak akan mengatasi masalah pokok.

"Ini tidak, semuanya tergesa-gesa. Tidak ada kajian, tidak ada perancangan. Kita sendiri pun tidak tahu konsep bagaimana yang mahu dibawa sekolah itu," katanya ketika dihubungi TV Selangor di sini, hari ini.

'Ustaz Kamalanathan' Serah Sumbangan Aidilfitri Dalam Masjid


SHAH ALAM 17 SEPT: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari mendedahkan gambar Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan menyerahkan sumbangan cek dalam Masjid Sungai Tengi Selatan yang dipercayai berlaku pada kempen pilihan raya kecil kawasan berkenaan.

Pendedahan itu dibuatnya dalam blog beliau yang turut memuatkan kritikan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) termasuk memuatkan gambar ahli jawatankuasa masjid berpakaian tertera logo Barisan Nasional (BN).

Pada paparan blog bertajuk Umno, Kura-kura dan Perahu, Khalid kesal kerana tiada pihak termasuk Umno yang mendakwa perbuatan ‘Ustaz Kamal’ itu menghina dan mencemar kesucian masjid, sebaliknya cuma berdiam diri.

Khalid turut menyindir ahli parlimen berkopiah dipercayai merujuk kepada ahli parlimen di kalangan Umno, sebagai berdiam diri walaupun terpaksa menerima sumbangan orang kafir kerana ‘sibuk menikmati juadah Aidilfitri’.

"Lebih hebat, 'Ustaz Kamal' bersama pengerusi Mais menyerahkan khat tulisan kalimah Allah kepada salah seorang peserta.

"Ke mana perginya ahli parlimen berkopiah dan mereka-mereka yang lantang bersuara tempohari kononnya umat Islam telah dihina?" tulis beliau.

Sebelum ini, tindakan Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching memasuki sebuah surau di Kajang mencetuskan perasaan tidak puas hati banyak pihak, terutama di kalangan pemimpin Umno dan BN.

Malah, Mais memberi amaran keras kepadanya ekoran tindakan itu atas alasan perbuatan berkenaan mendatangkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.