"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peristiwa Di Gombak - Iblis Pun Tabik Dengan Kebodohan Puak Ini

WFAUZDIN NS

MAKA, TV3 suku pun malam tadi mengulas berita kekecohan yang berlaku di dalam Program Jelajah Merdeka Rakyat bersama DS Anwar di Gombak. Seperti yang dijangka, ditemuramah semua balaci-balaci dan pelawak-pelawak bodo puak yang baru selesai berhimpun di kandang mereka baru-baru ini.


Sayugia berkatalah si Ketua Pemuda Gombak mewakili parti sekutu Apco itu sambil menafikan sekeras-keras tahi pemudanya terlibat, " Kami datang dengan aman dan tidak melakukan apa-apa provokasi tetapi pihak penyokong PR yang terlebih dahulu memulakan kekecohan"

Begitulah apabila si Munafil bercakap. Dia mengaku kumpulan lembunya datang ke program PR. Datang untuk dengar ceramah? Tiada masalah, tetapi perlu apa datang bersama bendera-bendera dacing baghdad dan bendera keris telanjang tanpa sarung itu? Ertinya, datang untuk mulakan provokasi. Bayangkan jika mereka tidak datang untuk provokasi, adakah kejadian yang memalukan bangsa Melayu dan Islam (jika mereka Islam) itu akan berlaku? Itu asas dan persoalan pokok.

Pihak berkuasa tentu tahu siapa yang hadir ke ceramah PR dengan membawa bendera cap dacing baghdad dan keris telanjang. Tentu pihak berkuasa sudah terfikir apa tujuan mereka datang. Untuk dengar ceramah? Lojikkah? Mengapa tiada tindakan awal untuk menghalang mereka? Mungkin bekas KPN, Musa Hassan tahu jawapannya.

Satu lagi yang melucukan, Malaysiakini melaporkan puak mereka mendakwa penyokong-penyokong PR membaling mereka dengan batu, periuk, kuali dan sebagainya. Inilah kali pertama aku dapat tahu bahawa selama ini penyokong-penyokong kita kalau hadir ceramah mesti membawa periuk, kuali, sudu, garpu, mangkuk, cerek dan mungkin juga peti ais. Cerita ini jika Iblis mendengarnya, Iblis pun tabik dengan kebangangan puak ini untuk menipu.

Itulah akibatnya jika kita mempunyai pemimpin yang bacul dan dayus takut untuk berhujah dan berdebat secara berdepan. Di dalam kandang sendiri, tunjuk telor sebesar gajah walhal dengan bini pun takut nak mampus. Maka, anak-anak buah pun jadi bacul tunjuk hebat kerana mereka tahu ada yang melindunginya./http://wfauzdin.blogspot.com/

Persediaan PRU13 Umno menakutkan: Apa maksud Prof Agus?

Ahmad Lutfi Othman
Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 memang berwarna-warni. Bukan hanya nampak garang dengan warna merah menyala pakaian perwakilan dan pemerhati, tetapi juga lagak-aksi pemimpin serta pembahas.

Ada tangisan, gelak ketawa, sorakan dan yang juga paling sukar dilupakan apabila Presidennya, Najib Razak kelihatan suka sangat menjerit, menengking, menjerkah dan "meneran".

Saya kira, berakhirnya PAU 2012, corong televisyen tidak bingit lagi dengan gema suara tinggi Najib melaung dan mengherdik. Saya salah. Pengerusi BN itu rupanya masih gian menguji suaranya, mungkin mahu menyaingi lantunan bicara Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Malam Isnin, 2 Disember lalu, sekitar jam 8 malam, sewaktu saya mula mengedit buku (yang tertangguh lebih empat tahun) mengenai kematian puteri saya, Nurul Syafiqah, dari ruang depan, suara bising Buletin Utama TV3 cukup mengejutkan.

Segera saya meluru bergegas mencari kepastian. Siapa pula mengacau ketenangan hari minggu ini? Nampak urat leher Najib yang tegang. Presiden Umno itu "meneran" lagi. Butir perkataannya tidak begitu jelas. Cuma saya dapat menangkap dia mempertegaskan dirinya sebagai perdana menteri yang prihatin dengan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Biasalah ayat-ayat klise, terutama untuk mendapatkan mandat dalam PRU13 ... tetapi kenapa perlu menjerkah dan menjerit, dengan nada yang menjengkelkan, yang tidak selayaknya dilafazkan oleh seorang negarawan. Saya tidak pasti apakah Najib -- di depan M Keyveas dan ahli-ahli PPP yang semuanya merangkap pemimpin -- mengulangi perisytiharan perangnya lagi. Ya, memerangi rakyat yang ghairah menuntut perubahan dan pertukaran kuasa di Putrajaya!

Rupanya Najib masih berdiri di PWTC, tempat berlangsungnya PAU 2012 yang melabuhkan tirainya sehari sebelum itu (maghrib Sabtu), tetapi kini berucap merasmikan mesyuarat agung ke-59 Parti Progresif Penduduk.

Lensa TV menyorot wajah mentornya, Dr Mahathir Mohamad. Dalam hati terdetik, "hebat orang tua ini." Sebelum itu berhari-hari dia berkampung bersama ahli-ahli Umno sehingga Najib merakamkan penghargaan tinggi buat bekas Perdana Menteri itu semasa ucapan penangguhannya. Dr Mahathir bagaikan penceramah Umno paling aktif sekarang.

Saya menahan diri daripada memandang rendah, apatah lagi memperleceh, keupayaan Umno dan gabungannya dalam BN, untuk mempertahankan sisa-sisa kuasa. Masing-masing parti sudah sewajarnya cuba mempamerkan kekuatan dan berlagak penuh yakin merekalah bakal pemenang dalam PRU13 nanti.

Namun, sesiapa sahaja yang mengikuti PAU Ke-66, walaupun sekadar menonton TV dan membaca akhbar, akan terkesan bahawa Najib serta sekutunya nampak gelabah dan tidak dapat menyembunyikan kegelisahan mereka.

Jeritan dan pekikan, serta sesekali ketawa besar dengan jenaka tanpa isi itu, sebenarnya cuba menyembunyikan gelodak rasa takut amat sangat akan kehilangan kuasa. Umno tanpa kuasa -- seperti sering diulang Najib dan Dr Mahathir -- tidak lebih daripada sampah.

Bukan saja Najib, yang pastinya bersungguh-sungguh dengan apa jua cara memastikan bahtera yang dinakhodainya tidak bocor dan tenggelam, malah Dr Mahathir juga bagaikan cacing kepanasan dan tidak betah duduk diam.

Masakan tidak, bagi pemimpin Umno, hilang Putrajaya bukan hanya bermakna peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat, tetapi mimpi ngeri buat para pemimpin dan kroni suku-sakat yang korup, merompak wang rakyat, menyeleweng dan hidup penuh kecurangan.

Petang 1 Disember lalu, di depan lebih 2,700 perwakilan, Najib memaklumkan bahawa Dr Mahathir secara sukarela bertemu dengan pemimpin akar umbi Umno untuk meraih sokongan untuk parti itu menjelang PRU13, walaupun tanpa diminta untuk berbuat demikian.

Anwar Ibrahim, yang cukup masak dengan perangai bekas bos yang telah memecat dan mengaibnya itu, dalam sidang media 3 Disember, segera menyanggah: "Kita tahu hakikatnya bahawa Dr Mahathir secara sendiri telah memanggil pemimpin Umno dan pemimpin negeri. Najib memaparkan keberanian yang sangat sedikit sebagai seorang pemimpin. Dia tidak mampu menangani Shahrizat (dalam skandal NFC), jadi saya tidak boleh bayangkan bagaimana dia mampu berurusan dengan Dr Mahathir."

Anwar turut memperlekehkan Umno yang dikatakan memperoleh keyakinan semula pengundi dengan menyifatkan pemimpinnya tidak mampu mendapat sokongan akar umbi dengan hanya "menginap di hotel 5 bintang, menghabiskan masa di lobi dan menghisap curut mahal ... Hal ini jelas terpisah antara kaya, pemimpin jutawan Umno dan rakyat di bawah."

Meskipun cuba mempertegaskan Umno sebagai organisasi massa yang berakar bersama rakyat, namun sebahagian besar pemimpinnya "tetap elit dan eksklusif". Desakan perubahan selepas kalah lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen langsung tidak membekas kepada gaya kehidupan mereka.

Rasuah yang membarah langsung tidak diberi penekanan oleh Najib, dan pendedahan sensasi Deepak (termasuk berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu) juga tidak cuba dijawab. Naib Presiden parti dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi yang rapat dengan Najib sejak zaman Pemuda, gagal menunaikan janjinya kepada media, untuk menjawab serangan terhadap keluarga bosnya itu semasa ucapan penggulungan, sebaliknya "melambung" Presiden Umno setinggi langit.

Penganalisis politik terkemuka, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff dalam Facebook sempat membidas: "Saya tidak mengikuti PAU dari dekat tahun ini. Tapi dari berita yang saya baca, dari video Youtube yang saya tonton dan dengar, saya dapati gaya perdebatan perwakilan gagal untuk meletakkan agenda Umno ke depan. Ucapan banyak diisi dengan jenaka, puji memuji pemimpin, semangat kepartian yang tidak ada substance dan retorik basi. Ucapan penggulungan pemimpin juga lemah dan tidak meyakinkan. Jika ini mahu diambil sebagai gambaran tahap persediaan Umno untuk menghadapi PRU13, ini menakutkan!"

Saya tidak pasti apa maksud "menakutkan" bagi Dr Agus. Tidak mungkin beliau "takut" Umno akan hilang kuasa. Atau ia membayangkan bagaimana seorang sarjana dan pemikir seperti Dr Agus sudah merasakan babak Umno-BN menguasai pemerintahan akan berakhir tidak lama lagi.

Karib Pak Lah pula sertai PAS

Subky Latif
SAYA ke Pulau Pinang seminggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Rakan-rakan di sana menyebut tentang Datuk Abdul Rahman Maidin yang pernah menjadi orang kanan korporat di zaman pemerintahan Tun Abdullah Badawi dulu sudah tidak lagi ngam dengan UMNO.

Kata mereka, banyak yang dia sudah tidak suka tentang UMNO.

Tanya saya, tidakkah dia juga mahu bersama Pakatan Rakyat kalaupun tidak menyertai PAS? Yang baiknya biarlah dia menyertai PAS, jika dia tidak dapat bersama PAS memadailah dia menjadi kerabat Pakatan Rakyat.

Mereka tidak dapat hendak mengagak adakah dia hendak terjun ke dalam perjuangan menuntut perubahan, menegakkan keadilan dan kebebasan.

Bagi mereka, setakat dia sudah tidak minat kepada UMNO sudah dikira baik untuk kita.

Takjub juga saya tentang seorang yang pernah mendapat kedudukan dan layanan baik dari kerajaan sebelum dipimpin Perdana Menteri Najib boleh tawar hati kepada UMNO dan kerajaannya.

Sebaik saja selesai Perhimpunan Agung UMNO yang mengikut Najib, dengan semangat dalam perhimpunan itu adalah tanda UMNO sudah pulih malah lebih berpengaruh da ri masa-masa sebelumnya, maka meletup satu bom yang mengganggu kegembiraan UMNO itu.

Akhbar melaporkan Datuk Abdul Rahman menyerahkan borang menyertai PAS kepada Presidennya di Batu Pahat.

Setahu saya dia orang Pulau Pinang. Mengapa pula dia boleh ke Batu Pahat bagi menyerahkan borang menyertai PAS?

Terharu rasanya, apa yang dikatakan oleh rakan-rakan di Pulau Pinang itu mengesahkan Datuk Abdul Rahman sudah meninggalkan UMNO dan apa yang saya harapkan dia menyertai PAS telah bersama PAS dengan izin Allah.

Apa yang mengharukan lagi ialah ketika hasil Muktamar PAS dicincang oleh pemimin UMNO dan selepas Perhimpunan Agung UMNO mendengar sekalian pemimpin UMNO membotok PAS, Datuk Abdul Rahman nekad masuk PAS.

Layaknya selepas PAS dicincang selumat-lumat, tiada lagi orang mahu bersama PAS. Tetapi sebaliknya, bukan Datuk Abdl Rahman Maidin saja terjun ke medan PAS, tiga lagi orang yang rapat dengan kerajaan ikut menyerahkan borang PAS bersamanya.

Yang menariknya seorang bekas pegawai kanan Felda Mohamad Sais Jonid antara yang baru menyerah borang. Pada ketika Felda dicanang Najib mencapai kejayaan gemilang, diseranaikan di bursa saham, dikatakan orang Felda amat bertuah dan macam-macam insentif lagi diumumkan bagi menggandakan kemajuan Felda, bekas Pegawai Felda pun tak mahu lagi kepada UMNO.

Yang berlaku itu seperti UMNO dibomlah. Ia reaksi pertama selepas semua bom diletupkan UMNO dalam perhimpunannya, ia kena letup. Tak sempat setengah perwakilan sampai ke rumah untuk menyenangi hasil perhimpunan, ia kena bom di Batu Pahat.

Dengan menghempapkan semua keburukan kepada PAS, sepatutnya orang PAS lari daripadanya dan tiada lagi orng hendak menyertai PAS. Orang PAS bencikan PAS seperti Hasan Ali dan kawannya tidak masuk UMNO, orang-orang di bawah dagu UMNO pula masuk PAS.

Mereka tidak termakan dengan tohmah kononnya doa PAS mahu UMNO KO adalah tidak Islamik.

Datuk Abdul Rahman itu orang Pulau Pinang. Jika didengar ceritanya, orang Melayu Pulau Pinang amat benci kepada kerajaan Pakatan Rakyat dan amat meluat dengan kerana menjadi kuda tunggangan PAS. Tapi orang Melayu Pulau Pinang bergelar Datuk pula menyertai PAS. UMNO kata Johor bukan bumi sebur untuk PAS, tapi Datuk Rahman bersama tiga lagi pergi ke Johor untuk mengumumkan mereka masuk PAS.

PAS wajar menginsafinya dan mensyukurinya. Semuanya dengan izin Allah.