"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Los Angeles dalam ‘situasi berbahaya’

KOSMO!
Kereta terbakar ditinggalkan di luar rumah di kawasan kejiranan Pacific Palisades di Los Angeles kelmarin. - AFP
LOS ANGELES, CALIFORNIA – Penduduk California Selatan berada dalam ‘situasi terutamanya berbahaya’ susulan tiupan angin kencang kekal seperti ramalan sedangkan  kebakaran hutan terus marak, lapor agensi berita United Press International semalam.

Setakat semalam kira-kira 88,000 warga California masih berada di bawah arahan perpindahan  dengan hampir 85,000 lagi dikenakan amaran supaya berpindah, lapor saluran berita NBC Los Angeles.

Kelajuan angin dijangka paling kuat pada waktu  petang di barat dan utara Los Angeles, sebahagian besarnya di kawasan pergunungan dengan tiupan angin mencecah kelajuan 112 kilometer sejam.

Meskipun angin kencang berisiko menjadi punca kebakaran hutan seterusnya, tiupan angin akan mula reda pada waktu malam.

Tahap kelembapan udara diramal meningkat dan akan menyaksikan sedikit hujan di selatan California. 

Bermula Rabu hingga Sabtu ini,  angin Santa Ana yang lebih kuat diramal tiba dengan kebarangkalian 40 peratus hingga 60 peratus, demikian menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan.

Setakat ini, kebakaran Hurst telah memusnahkan kira-kira 323 hektar kawasan, namun  97 peratus api dapat dikawal. 

Kebakaran marak di Palisades dan Eaton pula membakar kawasan seluas 15,782 hektar.

Kira-kira 45 peratus kebakaran Eaton berjaya dikawal, manakala kebakaran Palisades hanya dikawal 19 peratus. – AGENSI 

Umno ori dan tak ori

Hishamuddin Aun

Label dicipta Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz ditolak sebagai satu lagi angan-angan yang tidak mungkin dapat jatuhkan kerajaan.

Seramai 17 daripada 26 Ahli Parlimen Umno ketika ini dilabel sebagai ‘Umno ori’. Jika berdasarkan andaian itu, ada sembilan lagi yang ‘tidak ori’. Siapa-siapakah mereka agaknya?

Mungkin boleh diandaikan lima daripada mereka yang menganggotai Jemaah Menteri kerajaan Madani — Presiden Umno Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Mohamad Hasan, naib-naib presiden Khaled Nordin dan Johari Ghani serta Ketua Penerangan Azalina Othman tergolong sebagai ‘Umno ori’.

Harus tidak terkecuali juga lima timbalan menteri — Ahmad Maslan, Abdul Rahman Mohamad, Shamsul Anuar Nasarah, Mohamad Alamin dan Noraini Ahmad — yang kesetiaan mereka kepada Zahid selaku presiden Umno dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak boleh diragui.

Ini meninggalkan antara 16 lagi Ahli Parlimen dari Umno sebagai berkemungkinan bukan ‘Umno ori’. Namun, jika diperhatikan daripada senarai yang ada, ia mungkin lebih mudah untuk mencari sebatang jarum dalam longgokan rumput kering berbanding mengenal pasti identiti mereka.

Dalam kalangan Mohd Shahar Abdullah, Mohmed Puzi Sh Ali, Ismail Sabri Yaakob, Jalaluddin Alias, Shamshulkahar Mohd Deli, Adnan Abu Hasan, Mohd Isam Mohd Isa, Hasni Mohammad, Hishammuddin Hussein, Manndzri Nasib, Shahelmey Yahya, Siti Aminah Aching, Suhaimi Nasir, Bung Mokhtar Radin, Andi Muhammad Suryady Bandy, dan Ramli Mohd Nor, barangkali kecuali dua atau tiga, tidak harus ada kecurigaan terhadap mereka.

Pada 11 Jan lalu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz dalam ceramah Perikatan Nasional (PN) di Lembah Pantai mendakwa 17 daripada 26 Ahli Parlimen Umno yang dilabelnya ‘Umno ori’ mungkin menyokong usaha PN menjatuhkan kerajaan sebelum PRU16.

Dengan menyogokkan pandangan bahawa Bersatu dan PAS tidak boleh dilihat berpecah untuk menarik wakil rakyat lawan — termasuk dari Barisan Nasional (BN) — untuk menyokong PN menjatuhkan kerajaan, beliau percaya 17 Ahli Parlimen ‘Umno ori’ boleh didapatkan sokongan mereka.

Faisal tidak pula menghuraikan bagaimana itu berkemungkinan berlaku sedangkan jika dibandingkan antara kedua-duanya, ia harus lebih masuk akal untuk memancing sokongan Ahli Parlimen Umno yang ‘tidak ori’ jika diandaikan mereka tidak akan kerugian apa-apa dengan melompat.

Namun, rujuk dahulu kenyataan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki pada 29 Nov lalu yang mengingatkan tiada Ahli Parlimen daripada parti itu akan menyokong PN yang dikatakan cuba dipujuk untuk bergabung dengan mereka bagi membentuk kerajaan.

Padanya tiada wakil rakyat Umno akan berpaling tadah menyokong PN — sesuatu yang dianggapnya mustahil — memandangkan mereka telah menandatangani perjanjian sebelum PRU15 berkait dengan akta anti-lompat parti.

Menerusi perjanjian itu, mereka yang ingkar arahan akan keluar Umno secara sukarela sekali gus perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

“Mereka juga tandatangan perjanjian kena bayar bon denda sebanyak RM100 juta kalau ingkar ketetapan parti,” katanya dalam ceramah mega perpaduan Madani PRK Kemaman. Ia sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS Hadi Awang pada 23 Nov bahawa PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin Umno yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka.

“Sebarang pelanggaran menyebabkan mereka wajib membayar RM100 juta kepada parti sebagaimana kes Zuraida (Kamaruddin) lawan PKR di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bon RM10 juta yang ditetapkan PKR adalah sah dan wajib dibayar,” ulangi Asyraf Wajdi pada 13 Jan lalu.

Cuma dalam kes Zuraida, Mahkamah Rayuan kemudian mengurangkan perintah bayaran RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi kepada hanya RM100,000 atas pertimbangan jumlah RM10 juta itu sebagai tidak munasabah.

Pada 3 Ogos pula, Zahid mengumumkan Umno sudah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Adun Rembia Muhamad Jailani Khamis untuk pembayaran ganti rugi dan pampasan sebanyak RM100 juta susulan tindakannya menyertai PAS. Jadi bagaimana Faisal boleh sampai kepada andaiannya itu?

Menyerupai mereka senasib dengannya yang cenderung menghentam Umno apabila dipecat atau digantung parti, Faisal — bekas timbalan ketua Umno Putrajaya — yang dipecat pada 31 Jan 2023 tidak pun menunjukkan perilaku berbeza.

Surat pemecatannya bertarikh 27 Jan menyatakan Faisal yang sebelum ini lantang mengkritik kepemimpinan Umno dikesan melanggar etika ahli Umno berdasarkan perlembagaan parti. Lantaran menyertai Bersatu pada 4 Julai 2023 dan dilantik ketua penerangan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 28 Nov, bukan menghairankan jika beliau ikut menukar kulit untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap parti lamanya.

Atau barangkali Faisal cuba mengaitkannya dengan pendedahan Zahid pada 24 Nov bahawa terdapat usaha memujuk supaya BN keluar daripada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar untuk membentuk kerajaan baharu dengan beliau ditawarkan jawatan perdana menteri. Ia bagaimanapun ditolaknya kerana tidak sanggup mengkhianati rakan dalam kerajaan perpaduan.

Masakan kita mudah lupa apabila Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor pada awal tahun ini mendakwa gabungan itu sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi menerusi apa yang dinamakan ‘Langkah Dubai’ untuk menumbangkan kerajaan.

“Cukup sudah (jumlah SD) semua, tunggu hari sahaja,” katanya sehingga Pejabat Ketua Pembangkang terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk datang menghadap baginda bersama SD masing-masing.

Kenyataan media didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin mendakwa PN merafak syukur kerana usaha menyelamatkan negara mendapat ihsan Agong seperti ditularkan di media sosial ketika itu juga adalah palsu.

Berbalik kepada label 17 daripada 26 Ahli Parlimen Umno sebagai ‘Umno ori’, Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias menolak kenyataan Faisal sebagai tidak berasas kerana semua Ahli Parlimen parti itu bergerak bersama bagi memastikan kestabilan politik demi pembangunan dan kepentingan rakyat.

“Tak ada istilah Umno ori tak ori,” katanya sambil menasihatkan PN supaya menunggu hingga PRU16 yang dijadualkan pada 2027 kerana semua parti boleh bertanding bagi mendapatkan mandat baharu rakyat.

Sehingga itu, baik Hadi, Sanusi mahupun Faisal boleh terus memasang angan-angan.

Tiga maut dalam kebakaran di Ulu Tiram

Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
TIGA maut termasuk seorang kanak-kanak apabila kediaman mereka di Kampung Oren, Ulu Tiram, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
TIGA maut termasuk seorang kanak-kanak apabila kediaman mereka di Kampung Oren, Ulu Tiram, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Johor Bahru: Tiga termasuk seorang kanak-kanak, maut, apabila kediaman mereka di Kampung Oren, Ulu Tiram di sini, terbakar awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.46 pagi itu, empat mangsa dilaporkan terperangkap, namun seorang daripadanya membabitkan kanak-kanak lelaki 13 tahun berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Komander Operasi Kanan JBPM, Mohd Faiz Ramli berkata, seramai 24 anggota dan empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian di Jalan Limau Manis, Kampung Oren, selepas mendapat panggilan kecemasan orang awam.

"Setibanya di lokasi kejadian, terdapat sebuah rumah sedang marak terbakar yang memusnahkan 80 peratus daripada kediaman berkenaan.

"Terdapat empat mangsa di dalam rumah berkenaan dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dapat diselamatkan.

"Namun, tiga lagi mangsa membabitkan seorang lelaki dewasa, perempuan dewasa dan kanak-kanak perempuan meninggal dunia dengan kesan melecur di seluruh badan.

"Mangsa yang berjaya diselamatkan melecur di bahagian muka dan tangan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini," katanya dalam kenyataan, hari ini.