"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anggota polis disyaki menghina ketika melancong di China disiasat

KOSMO!

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap seorang anggotanya yang disyaki menghina masyarakat tempatan ketika melancong ke China, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, selain pelanggaran tatatertib, siasatan turut meliputi sebarang kemungkinan kesalahan di bawah undang-undang sekiranya terdapat unsur berkenaan.

“Kita telah menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan tatatertib terhadap anggota yang berkenaan. Bukan sahaja daripada sudut tatatertib, jika ada pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Pesara Polis Malaysia (RESPA) Kali Ke-42 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Khalid mengingatkan semua pegawai dan anggota PDRM supaya sentiasa menjaga tatasusila, disiplin serta imej pasukan, sama ada ketika bertugas di dalam mahupun di luar negara.

“Sebagai anggota beruniform, kita terikat dengan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) pasukan, walaupun tidak memakai uniform,” ujarnya.

Mohd Khalid berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secara adil dan telus sebelum sebarang keputusan atau tindakan lanjut diambil terhadap anggota terbabit.

Sebelum ini, kecoh di media sosial susulan video tular memaparkan beberapa wanita berkelakuan dan mengeluarkan perkataan tidak senonoh sambil menutup hidung seolah-olah menyindir masyarakat tempat di negara tersebut.

Video tersebut yang turut mendapat liputan di luar negara menerima kecaman daripada pengguna media sosial yang menyifatkan ia sebagai tindakan yang memalukan. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Penunggang cedera rempuh pintu hospital, positif dadah

Bernama

Mangsa yang cedera dibawa ke bilik kecemasan untuk rawatan dan disahkan positif dadah jenis methamphetamin.
Penunggang positif dadah rempuh pintu unit kecemasan hospital fb pic 23626
Lelaki itu dipercayai dari arah Jalan Sultan Mahmud menghala ke zon kecemasan HSNZ sebelum hilang kawalan dan merempuh pintu kaca di zon hijau hospital. (Gambar Facebook)
KUALA TERENGGANU: Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas merempuh pintu kaca Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kira-kira 3 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata siasatan mendapati lelaki berusia 28 tahun itu dipercayai dari arah Jalan Sultan Mahmud menghala ke zon kecemasan HSNZ, sebelum hilang kawalan dan merempuh pintu kaca di zon hijau hospital.

Mangsa yang cedera di kedua-dua tangan dibawa ke bilik kecemasan untuk rawatan dan disahkan positif dadah jenis methamphetamin.

“Mangsa dibawa menjalani ujian air kencing kerana tingkah lakunya yang mencurigakan,” menurut kenyataan.

Lelaki itu masih ditahan di wad HSNZ untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat bawah Kaedah 10, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan.

Suami parah dilibas isteri dengan pisau

Rudi Affendi Khalik
Sumber: Astro AWANI
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata. - Foto PDRM
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki parah selepas dilibas isterinya dengan pisau dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Taman Unigardens, di sini, pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, mangsa berusia 35 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan berasal dari Sri Aman, datang ke rumah sewa yang didiami isterinya selepas mereka tidak tinggal bersama sejak lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, berlaku perselisihan faham antara pasangan berkenaan yang dipercayai berpunca daripada rasa cemburu mangsa kerana isterinya dikatakan mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Dalam pertengkaran itu, mangsa telah memukul kepala isterinya menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan wanita berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan,” katanya.

Suspek kemudian melarikan diri ke dalam rumah sambil dikejar mangsa.

Dalam usaha menghalang mangsa daripada menghampirinya, wanita itu mencapai sebilah pisau dan melibas ke arah suaminya, sebelum terkena pada bahagian perut.

Menyedari kecederaan serius yang dialami mangsa, suspek segera membawa suaminya ke Hospital IJN Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan.

Barry berkata, suspek turut menerima rawatan di hospital yang sama akibat kecederaan di kepala sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan atas arahan polis, susulan laporan yang dibuat oleh pembantu perubatan kira-kira jam 6.50 petang.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

“Polis turut merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.

Mangsa telah menjalani pembedahan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pasangan itu telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai tiga anak berusia enam, tujuh dan 11 tahun yang kini tinggal bersama ibu suspek di Sri Aman.