"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pecat SUK, Penasihat Undang-Undang digantung, Peguam Negara kata Ismail tak ada kuasa

Harapandaily

Kemelut Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila tindakan kerajaan negeri menggantung tugas dua pegawai kanan negeri dipersoalkan pula dari sudut kuasa undang-undang.

Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Pendirian itu dinyatakan AGC dalam kenyataan media bertarikh 22 September 2026, susulan pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim mengenai penggantungan tugas kedua-dua pegawai berkenaan.

Ismail sebelum ini memaklumkan mesyuarat khas MMKN memutuskan secara sebulat suara untuk menggantung tugas Mohd Zafir Ibrahim sebagai SUK dan Muzalmah Mustapha Kamal sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri, berkuat kuasa serta-merta. 

Bagaimanapun, AGC menjelaskan bahawa persoalan utama bukan sekadar sama ada keputusan itu dibuat secara sebulat suara, tetapi siapa yang mempunyai kuasa melantik serta menggantung pemegang kedua-dua jawatan tersebut.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas pemegang kedua-dua jawatan tersebut,” menurut kenyataan AGC.

Menurut AGC, kuasa berkaitan pelantikan dan penggantungan tugas SUK serta Penasihat Undang-Undang Negeri terletak pada badan yang ditetapkan di bawah Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Bagi jawatan SUK, perkara berkenaan berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, manakala jawatan Penasihat Undang-Undang Negeri pula berkaitan bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

AGC turut menjelaskan bahawa sekiranya seorang Penasihat Undang-Undang Negeri baharu hendak dilantik, pelantikan itu perlu mematuhi Perkara 37 UUTKNS, iaitu dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Tindakan menggantung dua pegawai kanan negeri itu berlaku ketika Negeri Sembilan masih berdepan pertikaian perlembagaan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta kesahan beberapa tindakan kerajaan negeri.

Sebelum ini, AGC juga telah menyatakan bahawa Menteri Besar dan MMKN tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar, manakala proklamasi 19 April 2026 didapati tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS.

Dalam perkembangan terbaharu itu, AGC turut menegaskan bahawa pentadbiran negeri perlu mematuhi struktur kuasa yang diperuntukkan oleh UUTKNS, termasuk dalam soal pelantikan dan kedudukan pegawai kanan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Ismail memaklumkan Datuk Masri Razali, Pegawai Kewangan Negeri, akan menjalankan tugas SUK sementara menunggu pelantikan baharu, manakala tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh Fahmi Adilah buat sementara waktu. 

Dengan AGC kini mempertikaikan bidang kuasa MMKN untuk menggantung dua jawatan berkenaan, kemelut Negeri Sembilan bukan lagi sekadar pertikaian mengenai siapa yang memegang kuasa politik tetapi turut menyentuh sempadan kuasa perlembagaan antara kerajaan negeri, badan perkhidmatan awam dan institusi perundangan.

Polis siasat video tular lelaki kasari wanita di Felda Kledang

MASTURAH SURADI
TANGKAP layar seorang lelaki ditenangkan ahli keluarga dalam pergaduhan dipercayai berlaku di Felda Kledang, Gugusan Adela, Kota Tinggi.
KOTA TINGGI – Polis membuka siasatan susulan video tular di laman sosial yang memaparkan pergaduhan serta insiden fizikal melibatkan seorang lelaki dan wanita di Felda Kledang, Gugusan Adela.

​Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, video terbabit dikesan oleh pihak berkuasa sekitar pukul 9.30 pagi tadi selepas dikongsikan seorang pengguna Facebook ‘Sam Lim’.

Katanya, video berdurasi 44 saat itu menunjukkan seorang lelaki bertindak menolak dan menendang seorang wanita.

“Laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh seorang wanita tempatan yang juga individu yang merakam kejadian berkenaan.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Yusof berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta memudaratkan mana-mana pihak.

Tambahnya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu melengkapkan siasatan.

Rakaman video itu memaparkan ketika mengasari wanita terbabit, lelaki itu turut memarahinya dan menghamburkan kata-kata kesat.- KOSMO! ONLINE.

Kemelut politik Negeri Sembilan perlu ditamatkan segera

Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kemelut politik di Negeri Sembilan perlu ditamatkan segera demi kepentingan rakyat susulan ketidaktentuan berpanjangan dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

Penganalisis politik ProfMadya Dr Azmi Hassan berkata, tumpuan Menteri Besar Datuk Haji Ismail Lasim dan barisan EXCO terhadap pentadbiran serta pelaksanaan agenda kerajaan negeri kini terganggu kerana konflik berkenaan.

"Perhatian pimpinan negeri kini terpaksa 'dialihkan' kepada usaha merungkai dan menyelesaikan kemelut berkenaan.

"Senario ini secara tidak langsung menyebabkan janji manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, selepas 60 hari pembentukan kerajaan negeri berisiko terbantut apabila Menteri Besar bersama barisan EXCO terpaksa berdepan krisis politik itu.

"Sebab itu kemelut ini perlu dileraikan dan diselesaikan dengan segera,"katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, masalah ini bukan sahaja perlu diselesaikan mengikut institusi keadilan dan perundangan, tetapi peranan pemimpin politik juga penting, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi pihak kerajaan negeri.

"Semua pihak berkaitan perlu memainkan peranan masing-masing bagi merungkai dan meredakan kemelut berkenaan demi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan dapat kembali memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.

"Pada akhirnya, pihak yang akan menderita dan menerima kesan negatif daripada kemelut ini adalah rakyatanya sendiri," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, asas kepada kemelut ituadalah persoalan mengenai siapakah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, sama ada Tunku Mukhriz Tuanku Munawir atau Tunku Nadzaruddin Tuanku Muhriz.

Katanya, pertikaian berkenaan perlu diselesaikan melalui proses perundangan dengan meneliti peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan Perlembagaan negeri.

"Untuk menamatkan krisis ini, ia perlu dirungkai secara perundangan dengan membaca dan meneliti perundangan kerajaan negeri, Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan serta Perlembagaan negeri.

"Paling penting, Adat Perpatih yang begitu unik di Negeri Sembilan juga perlu diambil kira," katanya.

Beliau berkata, semua perkara berkenaan perlu diteliti secara menyeluruh dalam menentukan kedudukan sebenar pihak yang mempunyai hak mengikut kerangka perundangan negeri.

"Perkara itu akhirnya perlu diputuskan melalui proses mahkamah supaya keputusan yang dibuat mempunyai asas perundangan dan dapat diterima oleh kedua-dua pihak yang bertelagah.

"Penyelesaian berasas perundangan penting bagi memastikan pentadbiran negeri dapat kembali berjalan dengan lebih lancar, selain memberi kepastian kepada rakyat mengenai kedudukan kerajaan negeri," katanya.

Sebelum ini media melaporkan krisis istana di Negeri Sembilan berlarutan sejak April lalu yang menyaksikan Undang Yang Empat mengumumkan proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, krisis politik di negeri itu memasuki episod baharu apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawirmembatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Memetik kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua EXCO terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.

Azizi berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Ahli-ahli berkenaan, masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dalam kenyataannya berkata, tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baharu kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.