"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKFZ: PAS mahu suruhanjaya di raja, tolak petugas khas

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS menyifatkan pasukan petugas yang ditubuhkan kebinet bagi menyediakan laporan berkaitan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tidak mempunyai kuasa yang luas bagi membuat siasatan, kata Ketua Penerangannya, Ustaz Idris Ahmad.

PAS, katanya, menuntut supaya ditubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal tersebut.

"PAS berpandangan bahawa pasukan ini tidak mempunyai kredibiliti yang kuat, malah tidak mempunyai kuasa yang luas bagi membuat siasatan.

"Di akhir tugas mereka pasukan ini hanya melapor pada kabinet dan terpulang kepada kabinet untuk memutuskannya," katanya.

Idris menyifatkan pasukan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan itu tidak bebas kerana mereka terikat sebagai penjawat awam biasa yang bertugas dibawah arahan menteri.

Apa yang lebih membimbangkan, katanya, hasil siasatan ke atas skandal tersebut sebelum ini mengaitkan tokoh-tokoh politik dari Barisan Nasional (BN).

Antara yang dikaitkan ialah bekas Menteri Pengangkutan yang juga bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Chan Kong Choy; Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Tiong King Sing; bekas Bendahari Umno yang juga pengarah syarikat Wiramaju Sdn. Bhd iaitu anak syarikat KDSB, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi; bekas Exco kerajaan negeri Selangor dari Umno yang menjadi Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) dan Ahli Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) ketika transaksi dibuat, Datuk Abdul Rahman Palil dan Bendahari Umno Selangor yang juga Timbalan CEO KDSB, Datuk Faizal Abdullah.

Mengambilkira hakikat itu, Idris tidak menolak akan berlaku penyalahgunaan kuasa atau campurtangan anggota kabinet terhadap tugas penyiasatan yang dibuat oleh pasukan tersebut nanti bagi melindungi orang-orang tertentu.

"Oleh itu, PAS bertegas menuntut satu suruhanjaya di raja yang bebas dengan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen bukan dari komponen parti yang terlibat, wakil badan kehakiman, wakil dari peguam negara, wakil dari Majlis Peguam, wakil Bank Negara, wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM dan wakil NGO yang berkaitan.

"Sewajarnya kes ini disiasat secara terbuka kerana ia melibatkan wang rakyat yang telah hangus dalam projek PKFZ ini," katanya.

Rakyat, katanya lagi, pasti ingin tahu ke manakah duit mereka pergi dalam projek tersebut dan siapakah dalang utama hingga menyebabkan negara terpaksa mengalami kerugian yang besar.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

Tiada ulasan: