"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru dipenjara 60 tahun, 160 sebatan atas kesalahan seksual kanak-kanak

Kadir Edison
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Sri Aman.
SRI AMAN: Seorang guru sekolah rendah dijatuhi hukuman penjara 60 tahun dan 160 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap 64 pertuduhan berkaitan kesalahan seksual membabitkan lapan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen, Iris Awen Jon, terhadap Wong Fei Sing selepas tertuduh mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Daripada keseluruhan 64 pertuduhan, sebanyak 22 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 23 pertuduhan mengikut Seksyen 5 dan 14 pertuduhan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Empat lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, manakala satu pertuduhan mengikut Seksyen 377C kanun sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terkumpul selama 260 tahun, dengan tempoh pemenjaraan yang perlu dijalani tertuduh selama 60 tahun bermula dari tarikh reman.

Selain itu, tertuduh turut dikenakan hukuman 160 sebatan.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman sebatan itu tertakluk kepada peruntukan Kanun Tatacara Jenayah yang menetapkan had maksimum 24 sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan.

Tertuduh juga diperintahkan menjalani pengawasan selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Dalam menentukan hukuman, mahkamah mengambil kira peruntukan Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta faktor pemberat dan mitigasi dalam kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jonathan Lim Hsi How, manakala tertuduh diwakili peguam Boston Ho dan Clement Hii.

Tiada ulasan: