"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ust Azizan Berhadapan Tugas Getir / Nizar / PKFZ

Zolkharnain Abidin

Seminar khas anjuran PAS awal bulan lalu dimaklumkan, Ust Azizan adalah salah seorang daripada pimpinan PAS paling popular disamping TGNA, TGHH, Nizar dan Mohamad Sabu. Beliau juga dinobatkan oleh Aziz Bari sebagai pemimpin yang dikira layak untuk memimpin PAS di hierarki kepimpinan yang lebih tinggi.

Sembang-sembang dengan beberapa pemimpin pemuda PAS juga meletakkan Ust Azizan sebagai sosok pemimpin yang disenangi umum di Kedah. Samada kakitangan awam, istana, agensi swasta, GLC dan masyarakat bukan Islam, semuanya selesa dengan Ust Azizan. Walau pun, ada beberapa pendekatan Ust Azizan yang kurang disenangi oleh pimpinan sayap PAS di Kedah.

Blogger A Kadir Jasin juga memberi kredit kepada Ust Azizan. Ketika sebahagian kecil pemimpin PAS yang lain terpaksa bertungkus lumus dengan isu-isu yang perlu ditangani secara bijak, Ust Azizan pula dilihat ‘biasa’ sahaja. Dia seperti nakhoda di lautan tenang.

Secara umumnya, sehingga kini boleh dikatakan Ust Azizan berjaya membentuk dirinya menjadi pemimpin rakyat di Kedah.

Namun rencana Tuhan tidak mampu diduga. PRK Kota Seputeh menanti Ust Azizan. Boleh dikatakan PRK itu bakal menjadi kayu ukur kepada persepsi rakyat Kedah kepada Ust Azizan. Mengapa begitu?

Pada masa ini, mengikut pandangan beberapa ahli akademik, persepsi umum kepada PAS dalam keadaan menurun. Sokongan golongan muda dikatakan agak merosot. PRK Bagan Pinang pula menyaksikan masyarakat India tidak seiring dengan PAS seperti sebelumnya. Isu-isu di Selangor pula dilihat sedikit sebanyak mencalarkan imej PAS termasuk isu bai’ah.

Ust Azizan terpaksa berhadapan dengan PRK Kota Seputih dalam situasi itu. Tentunya situasi kini berbeza dengan situasi ketika PRK Bukit Selambau diadakan kerana kerusi itu ditandingi PKR. Ya, PKR juga ada masalah tersendiri tetapi sekurang-kurangnya masalah yang dihadapi PKR berjaya dibendung daripada membentuk persepsi negatif umum kepada parti itu berbanding persepsi umum kepada PAS pada masa ini.

PAS dan Ust Azizan juga perlu bijak mencatur ‘mood’ serta kehendak pengundi DUN Kota Seputeh supaya melihat bahawa apa yang dihadapi oleh PAS pada masa ini sekurang-kurangnya hanya bersifat tempelan sahaja dan bukan perkara dasar.

Komitmen PAS dalam isu-isu rakyat, kebersamaan PAS dalam Pakatan Rakyat, kesungguhan PAS dalam soal menobatkan Islam dan keprihatinan PAS terhadap keperluan masyarakat bukan Islam adalah tidak berubah, malah PAS bersedia pula untuk mengukuhkannya lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

Kalau imej positif Ust Azizan dan komitmen PAS di atas dapat diadun dengan baik, PAS akan menang di Kota Seputeh, walau pun kerusi itu kini dipegang BN. Tetapi kalau imej PAS gagal digilap dengan baik, tentu Ust Azizan akan berhadapan cabaran getir, sekurang-kurangnya untuk mengekalkan majoriti sekarang.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan: