"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nizar Masih MB Perak Yang Sah - Ku Li

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi menjadi Menteri Besar Perak sehinggalah beliau meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri, atau disingkirkan melalui usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

"Usul pada Dun sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar daripada jawatan itu, selain itu tak kiralah berapa banyak majlis angkat sumpah, lompat-melompat, sidang akhbar dan perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan dibuat ke atas persoalan ini tidak terpakai," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

"Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun."

Beliau juga berkata, sebuah kerajaan yang sah daripada segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat dan hanya mandat itu yang menentukannya. Mandat rakyat kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah berasaskan perlembagaan, yang mana ia dipilih melalui pilihan raya yang adil dan saksama.

"Untuk menguji mandat berkenaan maka kerajaan yang memerintah, mesti sama ada menyerahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya melalui pilihan raya negeri ataupun melalui usul undi tidak percaya pada persidangan dewan undangan negeri,’ kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata, untuk menyingkirkan dan menubuhkan kerajaan baru dengan kaedah ataupun cara selain itu adalah bererti melanggar Perlembagaan, melanggari undang-undang dan risiko menubuhkan sebuah kerajaan haram.
-tvselangor-

Tiada ulasan: