"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zambry perlu bubar Dun jika utamakan rakyat

Harakahdaily
IPOH, 10 Feb:
Dewan Pemuda PAS Perak mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir agar membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) jika benar Umno/BN mengutamakan rakyat.
Pemangku ketuanya, Mohd Nur Amin berkata, ini kerana rakyat telah memilih Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu, justeru hak mereka yang telah dicabuli mesti diserahkan kembali.

Beliau berkata, Pemuda PAS negeri juga mencabar pendirian Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang agar mengisytiharkan status sama ada sebagai wakil Bebas atau di dalam BN kerana terus dipertikaikan.

Katanya, ini kerana pemerintahan kerajaan BN bila-bila masa sahaja akan jatuh semula sekiranya mereka mengubah pendirian di samping tidak harus mempersendakan rakyat yang memilih mereka atas nama PR semasa PRU ke-12 lalu.

Pihaknya juga juga meminta seluruh petugas Pemuda PAS dan PR agar terus mengadakan kempen kesedaran kepada rakyat berkaitan nasib mereka akibat perkembangan yang berlaku itu.

“Kesedaran mendaftar sebagai pemilih mesti digerakkan agar rakyat akan kembali memartabatkan PR sebagai pemerintah bagi menghadapi sebarang kemungkinan kelak,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Pemuda PAS negeri mencabar pemimpin Umno/BN bagi menyediakan pentas atau forum berkaitan situasi yang ada itu jika mereka benar-benar meyakini berada di landasan betul.

“Pemuda PAS Perak juga akan membuktikan bahawa rakyat selesa dengan pentadbiran 11 bulan PR pada tahun lepas berbanding dengan pemerintahan kudeta Umno/BN pada 11 bulan yang lalu,” katanya lagi.

Tambahnya, hak rakyat mesti dikembalikan setelah dicabuli oleh Umno/BN dan mereka mesti menjadi hakim bagi menentukan siapakah yang paling layak memerintah ini.

Tiada ulasan: