"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahmad Awang tolak timbang semula EGM

Bekas naib presiden PAS, Ahmad Awang menolak gesaan agar parti itu mempertimbangkan semula cadangan mengadakan muktamar khas (EGM) ekoran keputusan jawatankuasa disiplinnya yang dikritik banyak pihak.

Katanya, usul yang asalnya ditimbulkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat Ogos tahun lalu bagi menyingkirkan "beberapa kerat pemimpin bermasalah" itu, sudah pun selesai ditangani.

"Tidak usah ditimbulkan balik. Cukup sekadar memperbaiki di peringkat jawatankuasa pusat sahaja. Kalau dibuat (EGM) akan jadi panjang cerita," katanya yang juga anggota Majlis Syura Ulama PAS.

"Tok Guru Nik Aziz pun sudah setuju (muktamar khas) digantikan dengan seminar politik. Dan hasil daripada itu dikecilkan kepada jawatankuasa disiplin."

Ahmad diminta mengulas gesaanTimbalan pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaaffar supaya PAS menilai semula cadangan kontroversi Nik Aziz itu bagi menangani masalah yang berbangkit dalam parti.

Dr Hamzah membuat gesaan tersebut kerana mendakwa jawatankuasa disiplin parti itu dilihat 'gagal' menangani masalah dalam parti itu dengan keputusan yang "mungkin tidak betul, walaupun adil".

Pada 29 Januari lalu, jawatankuasa disiplin PAS yang dipengerusikan naib presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memutuskan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali bersalah - masing-masing terhadap dua pertuduhan terhadap mereka.

Bagaimanapun, permulaan rasa tidak puas hati tercetus apabila Khalid digantung jawatan di pelbagai peringkat, manakala Dr Hasan pula hanya diberikan surat amaran.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad bagaimanapun dilihat
senada dengan Dr Hamzah berhubung kedudukan dan stuktur jawatankuasa disiplin PAS.

"Kalau perlu pinda (perlembagaan), pindalah," katanya sambil menekankan kepentingan supaya pihak yang tidak berjawatan mengetuai jawatakuasa tersebut.

Perlembagaan PAS menetapkan, pengerusi jawatankuasa disiplin mestilah dipilih daripada kalangan pemimpin yang mempunyai jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, anggota-anggota panelnya dibenarkan dilantik daripada kalangan bukan penjawat parti.

Sementara itu, menulis dalam blognya semalam, Ahmad turut meminta parti Islam itu mengubal satu garis panduan yang mengkelaskan maksud rahsia parti supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Khalid sebelum ini didakwa kerana mengkritik Dr Hasan berhubung isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) DUN Selangor dan membocorkan rahsia parti.

Ahmad menambah, dalam mengadili sesuatu perkara - seperti penghakiman terhadap Khalid dan Dr Hasan - "keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, bahkan mesti kelihatan dilaksanakan."

Mengambil contoh tindakan Nabi Muhammad yang mengampunkan sahabatnya Hatib Abi Balta'ah yang bersalah cuba membocorkan rancangan pembukaan kota Mekah kepada Quraish Mekah, Ahmad menyoal kembali:

"Kalau rahsia sebesar itu yang didedahkan Hatib Abi Balta'ah boleh diampuni oleh Rasulullah SAW, atas pertimbangan Hatib adalah 'ahli Badar' - walaupun mendapat sanggahan dari Saidina Umar Al-Khattab - apakah Khalid tidak layak untuk dimaafkan, (dengan) menimbangkan usaha dan pengorbanannya yang besar dalam PAS?"

Sementara itu, Naib Presiden PAS Mahfuz Omar pula ketika dihubungi Malaysiakini enggan menyatakan pendiriannya secara jelas berhubung saranan Dr Hamzah itu.

"Ia (muktamar khas) boleh diadakan sekiranya terdapat permintaan daripada jawatankuasa pusat dan PAS kawasan, sekiranya cukup bilangan tertentu," katanya.

Ahli parlimen Pokok Sena itu menambah, PAS sentiasa bersifat terbuka terhadap pelbagai cadangan, tetapi hendaklah dibawa melalui saluran dalaman seperti yang dipertukan dalam perlembagaannya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: