"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Arifin: Nizar bebas kemuka undi tak percaya terhadap Zambry

PUTRAJAYA, Feb 9: Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir Perak berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan di sini hari ini yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar yang sah.

Dalam penghakimannya, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah telah melaksanakan hak diraja baginda dengan menitahkan Zambry mengangkat sumpah sebagai menteri besar setelah baginda mendapat kepastian bahawa penentang Zambry, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat, telah hilang kepercayaan majoriti anggota dewan undangan negeri.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu, berkata tidak terdapat sebarang peruntukan dalam Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang mensyaratkan bahawa undi tidak percaya terhadap menteri besar Perak hanya boleh dibuat melalui pengundian dalam dewan undangan negeri.

“Bukti tentang kehilangan kepercayaan terhadap menteri besar boleh diambil daripada sumber lain yang ada. Kami berpendapat, sumber ini, termasuk pengakuan menteri besar itu sendiri dan/atau representasi yang dibuat anggota dewan undangan negeri bahawa menteri besar berkenaan tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota dewan,” kata beliau.

Penghakiman bertulis dikeluarkan beberapa jam selepas keputusan diumumkan beliau.

Arifin berkata dalam kes kini, Mahkamah Rayuan berpendapat terdapat bukti tentang pengakuan itu oleh Nizar sendiri dan satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan ialah sokongan yang dipamerkan oleh 31 anggota dewan undangan negeri kepada BN, yang memberi majoriti jelas kepada parti gabungan itu di dalam dewan.

“Semua ini dengan jelas menunjukkan bahawa majoriti anggota dewan undangan negeri telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mohammad Nizar sebagai menteri besar,” katanya.

Dalam penghakiman setebal 41 muka surat itu, Arifin berkata, oleh yang demikian, adalah wajib bagi Nizar mengemukakan surat pengunduran diri daripada dewan eksekutif, sebaik saja mereka hilang kepercayaan daripada dewan.

“Nizar tidak boleh terus mentadbir setelah hilang sokongan majoriti dan membenarkan beliau berbuat demikian adalah bercanggah dengan prinsip asas demokrasi,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata ini bukanlah penghujung jalan bagi perkara berkenaan kerana Nizar bebas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Zambry di dalam dewan undangan negeri atau mengemukakan representasi kepada Sultan Azlan Shah pada bila-bila masa sekiranya beliau berpendapat Zambry tidak mendapat sokongan daripada majoriti anggota dewan undangan negeri.

Beliau juga berkata keengganan Mohammad Nizar untuk berundur setelah dititahkan berbuat demikian oleh sultan, dengan jelas melanggar peruntukan Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Tiga hakim lain ialah hakim-hakim mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinu¬din, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Ketika membuat tafsiran tentang Perkara 16 (6), Arifin berkata: “Bukanlah menjadi hasrat penggubal Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa, dalam keadaan demikian, terserahlah kepada perayu (Nizar) sama ada hendak melepaskan jawatan atau untuk terus menjadi menteri besar.

Perkara 16 (6) menyebut: “Sekiranya menteri besar tidak lagi mendapat kepercayaan daripada majoriti anggota dewan undangan negeri, maka, melainkan atas permintaannya, Duli Yang Maha Mulia Sultan membubarkan dewan undangan negeri, maka beliau perlu mengemukakan peletakan jawatan keseluruhan anggota majlis eksekutif”.

Arifin berkata perkataan “shall” (dalam Perkara 16 (6)) perlu dilihat sebagai sesuatu yang perlu dilakukan secara mandatori kerana jika tidak, ia akan membawa kepada keadaan politik yang tidak menentu di negeri berkenaan.

Konflik siapakah menteri besar Perak yang sah timbul tahun lepas apabila tiga anggota dewan undangan negeri daripada perikatan DAP-PKR-PAS meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi anggota Bebas yang menyokong BN, manakala seorang lagi keluar semula daripada PKR untuk menyertai Umno, lalu menyebabkan BN dan Pembangkang masing-masing mempunyai 28 anggota dalam dewan yang mempunyai 59 kerusi itu.

Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), yang meninggalkan PKR pada 30 Jan dan mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas yang menyokong BN. Anggota dewan undangan negeri daripada DAP Hee Yit Foong (Jelapang) mengikut langkah mereka empat hari kemudian.

Nizar, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, dilantik sebagai menteri besar apabila perikatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi pada
pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, kerajaan pakatan itu tumbang pada 2 Feb tahun lepas apabila Sultan Azlan Shah menitahkan Nizar supaya berundur setelah baginda mendapat kepastian bahawa BN mempunyai majoriti di dewan undangan negeri itu selepas menemuramah 31 anggota dewan berkenaan.

Sultan Azlan kemudian melantik Zambry, 47, anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor, sebagai menteri besar baru bagi menggantikan Nizar.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: