"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakyat boleh protes dengan cetus kebencian, kata Nik Aziz

Mohd Zuharman

KOTA BARU, Feb 9: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tidak salah jika rakyat memprotes keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang berpihak kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam kes pertikaian mengenai Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau membuat kenyataan itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kebenaran terhadap penggunaan kalimah Allah bagi penerbitan majalah mingguan The Herald, juga mendapat tentangan secara habis-habisan daripada kalangan pihak tertentu dengan mengadakan bermacam-macam demonstrasi baru-baru ini.

“Situasi itu adalah satu situasi baru dalam Malaysia di mana beberapa pihak tertentu bangkit menentang keputusan mahkamah dalam isu penggunaan kalimah Allah. Berdemonstrasi, lengkap dengan gambar, lengkap dengan kata-kata menentang keputusan mahkamah.

“Orang yang demonstrasi menentang keputusan itu bukan dibuat oleh sebarangan orang, orang kenamaan. Jadi situasi begini boleh ditiru oleh rakyat.

“Oleh yang demikian bila mahkamah berkeputusan memihak pada Zambry pada hari ini, maka rakyat boleh menentang keputusan ini walaupun tidak dengan demonstrasi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Dewan Harian di kediaman rasminya di JKR 10 petang ini.

Sebaliknya kata Nik Aziz penentangan itu boleh dibuat dengan cara menimbulkan rasa benci dalam hati rakyat terhadap keputusan tersebut memandangkan keupayaan Zambry menduduki kerusi nombor satu negeri Perak dianggapnya melalui proses kudeta, bukan pilihan raya.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Nizar setelah berpuas hati Nizar tidak lagi mempunyai kelebihan undi dalam Dewan Undangan negeri.

Turut bersidang bersama Alauddin ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria serta hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dibuat mengikut Perlembagaan.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: