"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes ‘arsenik Anwar’ ditangguh esok

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 10 Feb:
Hakim Hafizah Saun petang tadi menangguhkan lagi perbicaraan kes perhimpunan 'arsenik Anwar' kerana pasukan pendakwaraya bersama-sama Pengarah Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Datuk Bakri Zenin gagal hadir di kamar perbicaraan.
Hafizah, iaitu Hakim Majistret keenam yang membicarakan kes itu memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan akan ditangguhkan sehingga jam 10 pagi esok.

Pun begitu, sekiranya pasukan pendakwaraya gagal mengemukakan saksi, beliau akan memutuskan sama ada menggugurkan kes itu atau sebaliknya, pada Jumaat ini.

"Sekiranya sehingga Jumaat ini, tiada pendakwaraya dan saksi utama (Bakri), saya akan membuat keputusan untuk menutup kes ini atau tidak," kata Hafizah di Kamar 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Dr Mohd Hatta Md Ramli, iaitu salah seorang orang kena tuduh (OKT) yang ditemui kemudian, berharap Hakim Hafizah menggugurkan kes tersebut kerana pendakwaraya gagal membawa kelapan-lapan saksi seperti yang dijanjikan sebelum ini.

"Hari ini, saksi utama sendiri tidak hadir dan kita berharap hakim akan memutuskan supaya kes ini ditutup kerana pendakwaraya gagal membawa saksi," jelasnya.

Beliau turut mempersoal komitmen pasukan pendakwaraya dalam sesi penghujahan sejak kes ini dibicarakan semula Isnin lalu.

"Lebih kurang lapan atau sembilan orang saksi mereka (pendakwaraya) gagal bawa walaupun sapina telah dihantar dan saya diberitahu dua anggota polis tersebut telahpun bersara dan gagal dihubungi pendakwaraya.

"Kita sendiri pun tidak tahu apa sudah jadi dengan sapina, Bakri sendiri dan beberapa saksi enggan tampil," jelasnya.

Peguam bagi Hatta, Latipah Koya yang ditemui kemudian turut meminta semua pihak menunggu keputusan kehakiman pada Jumaat ini.

Beliau turut menyuarakan hasrat supaya kes tersebut digugurkan seperti yang ditegaskan oleh anak guamannya.

Selain Hatta, Azmin Ali (kini Ahli Parlimen Gombak), Tian Chua (Ahli Parlimen Batu), Dr. Badrul Amin, Gobalakrisnan (Ahli Parlimen Padang Serai), Malik Hussin (Pegawai Khas bagi Ketua Pembangkang di Parlimen), Sivarasa Rasiah (Ahli Parlimen Subang) antara yang turut hadir di mahkamah petang tadi.

Hishamuddin Rais, Mohamad Ezam Md Noor (kini sertai Umno) antara 27 OKT yang yang tidak hadir di kamar perbicaraan petang tadi.

Seorang OKT lain, Paderi Goh Kiat Peng dilaporkan mengaku bersalah enam tahun yang lalu kerana mahu menunaikan suatu tanggungjawab di Timor Timur.

Manakala dua OKT yang lain iaitu Omar Tan dan Mohamad Zaidi Mat Amin pula dilaporkan telah pun meninggal dunia.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara yang hadir memberi sokongan moral kepada semua OKT kes tersebut.

Sejak Isnin lalu, pendakwaraya memberitahu mahkamah bahawa mereka gagal mengemukakan saksi seperti yang disenaraikan sebelum ini, walaupun sapina dari mahkamah telahpun dikeluarkan.

Tiada ulasan: