"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berita pecah perut pagi ini daripada Bernama

Bernama
Tun Mahathir saran berpegang kepada Al-Quran
SUNGAI PETANI, 2 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata peperangan yang membabitkan sesama masyarakat Islam berlaku kerana pengikutnya tidak menjadikan al-Quran sebagai pegangan mereka.
Bekas Perdana Menteri itu berkata sejak zaman sebelum kedatangan Islam, peperangan dan pembunuhan telahpun berlaku di negara-negara Arab, walaupun pada masa yang sama masih terdapat kumpulan yang inginkan keamanan wujud.

“Peperangan dalam zaman Islam berlaku kerana kita mengabaikan ajaran Islam. Agama Islam mengajar kita supaya mengutamakan keamanan terutama sesama Islam.

“Memang pendapat manusia berbeza, tetapi tidak perlulah sampai membunuh atau mengkafirkan orang. Perbuatan ini tidak mengikut ajaran Islam.

“Ia datang dari orang yang mahu ‘hijack’ (merampas) agama Islam untuk kepentingan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Islam dan Keamanan di Institut Pendidikan Guru kampus Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Semasa berucap di forum itu, Dr Mahathir (gambar) berkata Islam adalah berkait rapat dengan keamanan, tetapi kerana perpecahan sesama penganutnya sehingga saling berbunuhan seperti yang berlaku sekarang, ia tidak membezakan mereka dengan zaman jahiliah.

“Orang Islam berperang dengan orang Islam disebabkan ada pihak yang ‘hijack’ agama Islam untuk kepentingan diri sendiri. Apa yang terjadi kini, orang Islam bunuh orang Islam, kadang-kadang orang Islam bagi senjata kepada orang bukan Islam untuk bunuh orang Islam. Ini amat menyedihkan.

“Oleh itu masyarakat Islam perlu kembali berpegang kepada al-Quran bagi mengembalikan semula keamanan dan menghapuskan kekeliruan yang berlaku disebabkan kurang pemahaman terhadap kandungan al-Quran.

“Kita kena baca terjemahan al-Quran dalam bahasa yang kita fahami dan juga memahami hadis-hadis sahih. Al-Quran diturunkan sebagai panduan tetapi kalau kita tidak faham, macam mana nak dijadikan panduan,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: