"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa PAS kalah di Kedah ?

Persaingan PRU13 menyaksikan Pakatan Rakyat Kedah tewas dan kehilangan tampuk Kerajaan Negeri Kedah. Rata-rata reaksi umum kehairanan dan terkejutberbanding suasana zahir yang meriah kepada Pakatan Rakyat. Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM mendapatkan ulasan awal dari Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPN) Kedah, Senator Dato’ Muhamad Yusof Husin mengenai perkara itu. Ikuti temubual tersebut.
Wartawan : Apakah ulasan Dato’ terhadap keputusan PRU13 bagi negeri Kedah ini?

Dato’ Muhamad Yusuf Husin: Keputusan pilihan raya kali ini agak mengejutkan kita kerana pada 6 April lalu kita memberi laporan bertulis kedudukan terkini kepada Dato’ Seri Presiden PAS bahawa kita hanya mampu menang 12 Dun dan 6 Dun lagi kalah kurang dari 1,000 undi majoriti. Sementara 6 Dun lagi kita analisa kalah lebih 1,000 undi majoriti.

Apabila keputusan sebenar keluar, daripada 12 Dun yang kita boleh menang iaitu Dun Bandar Baharu, Dun Kota Siputeh dan yang amat mengejutkan Dun Kupang, semuanya tewas. Sementara analisa ke atas Dun boleh menang di mana majoriti undinya kurang 1,000 semuanya kita kalah yakni Kuala Nerang, Ayer Hitam, Jeneri, Belantik, Guar Chempedak dan Pantai Merdeka.

Tapi dari 6 Dun yang dianalisa kalah iaitu Dun Bayu, Dun Merbau Pulas, Dun Tanjong Dawai, Dun Sungai Tiang, Dun Jitra dan Dun Ayer Hangat, kita tidak mengharap kemenangan tetapi Dun Merbau Pulas telah menang dengan majoriti 633 undi.

Saya amat terharu dan mengucapkan tahniah kepada MTD Merbau Pulas yang pada mulanya ada masalah, tapi wala’ terhadap arahan, mereka kembali bersatu hingga mencapai kemenangan. Jadi tambahan kepada 8 Dun dari 12 Dun yang kita analisa menang itu menjadikannya 9 Dun kita (PAS) menang.

Bagaimana perincian angka sokongan kepada Pakatan Rakyat dan BN?

Pada penelitian kami, undi yang kita perolehi antara Pakatan Rakyat dengan BN pada keseluruhannya bagi Parlimen ialah 431,999 undi atau 47.7 peratus, sedangkan BN perolehi 451,095 undi atau 49.8 peratus. Terdapat 13,902 undi rosak, parti Kita mendapat 200 undi, Berjasa 6,100, Bersama 257 dan Bebas 1,864 undi, semuanya lebih kurang 2.48 peratus. Majoriti keseluruhan Negeri Kedah diperingkat Parlimen hanyalah 19,096 undi atau 2 peratus di mana ini menunjukkan pengaruh PAS dan Pakatan Rakyat tidak hilang begitu sahaja, bukan terlalu besar perbezaannya.

Bagi peringkat Dun, Pakatan Rakyat dapat 434,641 undi atau 48 peratus, dan BN dapat 449,258 undi atau 49.61 peratus menjadikan majoritinya lebih kecil dari parlimen iaitu 17,137 undi dan lebih 1.61 peratus sahaja seluruh Kedah. Parti Kita mendapat 745 undi atau 0.08 peratus, Berjasa 2,959 undi atau 0.33 peratus, Bersama dapat 192 undi atau 0.02 peratus, manakala Bebas 4,097 undi bersamaan 0.45 peratus dan undi rosak 13,651 undi atau mewakili 1.51 peratus.

Keseluruhannya kelebihan undi BN hanyalah 1.61 peratus. Itu sahaja kelebihan kepada BN. Tetapi sistem pilihan raya berasaskan kerusi kawasan Parlimen dan Dun. Kita menang banyak di Sungai Petani, Pengkalan Kundor, Tokai, Sungai Limau, tetapi kita kalah di Dun lain walaupun majoritinya kecil macam Belantik, Bakar Bata dan Kulim yang semuanya bawah 1,000 majoriti undi.

Perbezaan tidak sampai 20,000 perbezaan undi yang beri kepada BN berbanding kita Pakatan Rakyat. Menunjukkan sokongan rakyat negeri Kedah kepada Pakatan Rakyat masih kuat dan utuh. Pertambahan undi dari 2008 ke 2013 mengikut Daftar Pengundi Tambahan begitu tinggi iaitu sebanyak 242,322 pengundi termasuk pemindahan pengundi. Ini mendatangkan kesan kepada keputusan.

Jadi, apakah tindakan susulan JPN terhadap keputusan ini?

Kita akan panggil semua Pengarah-pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) dalam masa terdekat untuk memberi taklimat supaya mereka menyediakan laporan ‘post-mortem’ sama ada bentuk dalaman, luaran atau sebarang faktor yang menyebabkan Dun-dun yang kita menangi dulu iaitu 7 Dun tetapi kesemuanya kali ini kalah. Ini untuk kita buat persiapan akan datang.

Apakah Dato’ merasakan perlu tindakan lebih menyeluruh atau sebarang rombakan?

Saya sebagai Pengarah JPN mengambil tanggung jawab dengan keputusan yang berlaku. Walaupun persiapan dibuat sebaik sahaja selepas PRU12 lalu di mana jentera kali ini lebih komited dan hampir keseluruhan terlibat secara langsung. Kita juga himpun dana JPN sejak 5 tahun dahulu bagi tampung kos PRU kali ini, tetapi keputusan sebaliknya. Kerana itu saya dan Ahli Jawatankuasa JPN menerima, andainya ini kelemahan dari kami dan pimpinan PAS Negeri mahupun PAS Pusat merasakan pengurusan ini perlu diberi kepada tenaga-tenaga baru, kami bersedia menerimanya dengan wala’ dan terbuka. Sekiranya pimpinan masih beri amanah kepada kami untuk teruskan kepada kami, kami tetap wala’ dan bertanggung jawab.

Konklusi Dato’ dari kekalahan ini?

Kekalahan dalam PRU13 adalah satu pengajaran dan muhasabah untuk semua, sama ada akar umbi, MTD, PAS Kawasan, PAS Negeri hingga PAS Pusat. Kita kena kaji dan lihat kelemahan kita dalam hadapi PRU13 ini yang saya kira banyak perkara kita semak semula. Kita kena bentang dalam ‘post mortem’ yang dibuat dengan penuh teliti setelah semua maklumat diterima dari semua peringkat dan diproses JPN sebelum dibentangkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri. Terpulang setelah itu PAS Negeri meminda atau tidak sebelum diserah ke PAS Pusat.

Boleh Dato’ nyatakan perancangan untuk ke PRU14

Jika, kami diberikan amanah lagi, fokus keutamaan kita perlu berikan adalah kepada daftar pemilih baru terutama yang berada di luar Kedah untuk tambah kekuatan kita disamping berusaha mencari seramai lagi bagi menyertai PAS, menambah Cawangan, adakan penerangan dan terus nyatakan hasrat dan dasar perjuangan PAS yang sebenarnya terutama kepada Melayu golongan atas pagar dan termasuk orang Umno sendiri bahawa kita bukan parti politik semata-mata tetapi kita adalah jamaah Islam yang bersangkutan langsung dengan akhirat.

Mungkin Dato’ ada seruan kepada ahli-ahli PAS untuk persediaan seterusnya?

Semua ahli dan penyokong PAS kena jadikan kekalahan kita adalah sepanjang 11 kali PRU dahulu, kita menang pertama kali pada PRU12 dan kalah pada PRU13. Ingat balik tahun 1990 kita tinggal satu kerusi Dun Tokai yang disandang Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor yang ketika itu Presiden PAS. Tetapi kita tetap bangun walaupun masa itu kita rasa hiba, dukacita kerana dapat satu dari 36 Dun sedangkan tahun itu Kelantan menang semua Dun dan Parlimen. Kita bangun masa itu mengorak langkah, susun atur kita untuk hadapi pilihan raya berikutnya walaupun 1995 kita hanya menang dua Dun sahaja iaitu Tokai dan Sala yang pertama kali ditandingi Ustaz Azizan Abdul Razak, itupun menang tipis tidak sampai 200 undi majoriti. Kita terus susun, tidak pernah jemu harap pada Allah sehinggalah pada 1999 kita menang 12 kerusi Dun dan kekuatan kita bertambah.

Bagaimanapun 2004 kita kehilangan 7 kerusi daripada 12 Dun. Kita mulakan dengan 5 Dun untuk masuk 2008 kita menang 16 Dun dan dapat bentuk Kerajaan Negeri Kedah buat pertama kali sejak 50 tahun perjuangan PAS.

Minta Dato’ berikan sedikit taujihat sebagai suntikan untuk teruskan usaha kita

Perjuangan dalam PAS ini perjuangan yang berterusan selagi nadi masih bergerak, darah masih mengalir, jika diarah pimpinan, kita kena tetap lakukan. Kekalahan bagi seorang pejuang bukanlah kalah dalam pilihan raya. Selesai PRU13, akan datang PRU14, dan akan datang PRU15, serta berikutnya. Kekalahan bagi seorang pejuang apabila dia menolak atau mengabaikan amanah dan tanggungjawab diberikan jamaah melalui pimpinan, itulah kekalahan sebenarnya.

Oleh kerana itu, JPN menyeru ahli-ahli penyokong PAS dan Pakatan Rakyat tidak kecewa atau putus asa malah tidak berdukacita terhadap kekalahan ini.

Kita terima dengan hati terbuka dan sebelum kita cari sebab-sebab kekalahan, kita cari dan muhasabah diri sendiri di mana kelemahan, kekurangan, kesilapan terhadap strategi hinggalah kita hilang kerajaan di negeri Kedah sedangkan negeri lain dapat meningkatkan sokongan rakyat. Oleh kerana itu, ahli-ahli dan penyokong PAS mesti menyusun atur gerakerja dan strategi kita, kerja kita supaya PRU14 kita lebih tersusun, sistematik dan teguh wala’ menjalankan amanah dari kepimpinan. Tidak bermakna selesai PRU ini kita senang buat kerja lain kerana kerja pilihan raya ini sebenarnya adalah bermula selepas PRU.

Saya memohon ampun dan maaf jika terdapat kesilapan dan kelemahan saya serta AJK JPN dalam mengendalikan PRU13. Untuk pengetahuan ramai, pasukan ini jugalah yang mengendalikan PRU12 dahulu sehingga kita menang menubuhkan kerajaan.

Malah untuk PRU13 ini kita perbesarkan lagi, petugas kita tambah tetapi Allah tetap tidak beri kemenangan kepada kita. Pasti ada hikmah yang tersembunyi untuk kita selidik dan kita cari kenapa tidak diberi kemenangan kali ini sedangkan semua peringkat bekerja keras. Kita terima dengan penuh keredhaan..wartautara.com

Tiada ulasan: