"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM kata tiada kuasa dakwa anak Rosmah

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Badan pencegah rasuah Malaysia tidak boleh menyiasat pembelian kontroversi kondominium mewah bernilai RM100 juta anak tiri Perdana Menteri kerana tiada undang-undang untuk menyiasat individu yang membeli aset di luar kemampuan mereka.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan mereka mencadangkan agar peruntukan itu dimasukkan ke dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 akan tetapi Putrajaya masih belum membentangkannya di Parlimen.

“Walaupun siasatan pemilikan harta tidak sepadan dengan pendapatan bukan fungsi SPRM sepenuhnya, SPRM mengalu-alukan jika perkara ini dimasukkan dalam senarai pindaan Akta SPRM 2009 yang bakal dibawa ke Parlimen pada tahun depan,” kata badan itu dalam satu kenyataan malam tadi yang dipetik The Malaysian Insider.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas ahli politik pembangkang mendesak SPRM menyiasat pembelian kondominium mewah penerbit filem Riza Shahriz Abdul Aziz di New York. Riza merupakan anak kepada isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam perkahwinan sebelumnya.

Laporan media mengatakan lelaki berumur 36 tahun itu bekerja dalam industri perbankan di London di mana beliau mengumpul kekayaannya dalam ekuiti dan hartanah. Riza juga memiliki Red Granite yang menerbitkan filem terbaru lakonan bintang Holywood Leonardo DiCaprio, “Wolf of Wall Street” - diarahkan oleh Martin Scorsese.

Seorang kolumnis hiburan menulis tentang pembelian kondominum mewah ini pada Disember 2012 akan tetapi berita tentangnya hanya menjadi tajuk berita selepas laman sesawang Sarawak Report melaporkannya minggu ini, mempersoalkan pembelian tersebut.

Kondominium tersebut dikatakan diantara yang paling mahal dan eksklusif di dunia, kata kolumnis tersebut, ia mempunyai 15 bilik dengan keluasan 7,738 kaki persegi dengan pemandangan menarik dari beranda seluas 1,244 kaki persegi.

Akan tetapi laman sesawang hartanah New York, The Real Deal mengatakan Riza membeli hartanah mempunyai tujuh bilik di West 63rd Street Park Laurel pada 19 November, 2013.

LA Times melaporkan minggu ini Red Granite mendapatkan wang daripada sekumpulan pelabur tidak dikenali dari Timur Tengah dan Asia dan hanya akan membiayai filem itu sahaja. Wolf of Wall Street dilaporkan berkos US$100 juta di mana Red Granite mengeluarkan dana sepenuhnya.

Bagaimanapun, ahli politik pembangkang Malaysia lebih berminat kepada hartanya berbanding cara beliau berniaga dengan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang mengatakan,” “Pendedahan tersebut mengejutkan. Pada ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, sesetengah pihak berbelanja mewah.”

“Dari manakah dia (Riza Shahriz) mendapat wang sebanyak itu? Kerana angkanya terlalu besar iaitu RM110 juta,” katanya semasa mendesak SPRM menyiasat perkara tersebut.

Menurut SPRM, cadangan untuk menyiasat individu yang hidup di luar pendapatan mereka juga dicadangkan oleh badan panel yang memantau perjalanan SPRM iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), yang dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Katanya, laporan tahunan SPRM 2012 juga menyatakan keperluan untuk akta dipinda membolehkan seseorang individu mengisytiharkan kewangan atau harta benda tanpa ada siasatan awal dibuat terlebih dahulu.

"JKMR dan juga masyarakat melihat isu ini sebagai satu kekangan kepada kerajaan dan SPRM untuk membanteras rasuah dengan berkesan kerana didapati terdapat sesetengah anggota pentadbiran ataupun penjawat awam mempunyai harta kekayaan yang berlebihan dan tidak sepadan dengan pendapatan yang diperoleh,” kata SPRM.

Tiada ulasan: