"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amber Chia mahu berpuasa penuh

Amber
Sejak mendapat banyak komen positif daripada ramai pihak mengenai penampilannya berhijab sewaktu Festival Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Hijab Fair (KLIHF) 2015 baru-baru ini, supermodel bertaraf antarabangsa, Amber Chia mengakui dia semakin suka memakai tudung.

Menurut wanita berusia 34 tahun ini, niatnya memakai tudung adalah kerana mahu merasai sendiri perasaan menjadi seorang muslimah dan mahu lebih memahami mengenai konsep muslimah dalam Islam.

Katanya, meskipun dia seorang ‘free thinker’ tetapi dia tetap menghormati dan sentiasa ingin belajar setiapa budaya di negara ini.

Bahkan, jika dia diajukan pertanyaan oleh teman-teman di luar negara mengenai Islam, setidak-tidaknya dia boleh berkongsi sekadar apa yang difahaminya.

“Sebagai rakyat Malaysia di mana negara kita mempunyai pelbagai kaum dan agama, saya kira tidak salah jika saya sendiri mengalami pengalaman setiap agama di negara ini.

“Walaupun, saya seorang free thinker tapi saya suka dan sentiasa ingin belajar mengenai semua agama dan budaya.

“Ada kawan-kawan luar negara yang bertanya kepada saya beberapa perkara dan mempersoalkan kenapa saya pakai tudung dan saya terangkan pada mereka yang saya mahu rasa sendiri pengalaman bertudung.

“Pada saya, individu bukan Islam memakai hijab atau tidak merupakan satu pilihan.

“Sewaktu pertama kali saya berkongsi di Facebook gambar saya bertudung, saya menerima hampir 1,000 komen dan rata-ratanya komen positif.

“Walaupun begitu, ada juga yang tidak bersetuju dan cuba mengaitkan dengan agama tetapi saya harap saya akan terus menerima banyak lagi komen positif,” katanya sambil tersenyum.

Amber ditemui pada majlis pelancaran Koleksi terbaharu sempena Aidilfitri jenama busana Suci By Yatt Hamzah di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis tersebut Amber turut memperagakan salah satu jubah rekaan terkini oleh Yatt Hamzah.

Tambah peragawati yang mempunyai ketingian 173 sentimeter ini, setiap kali memakai tudung dia berasa sangat tenang dan memahami mengenai agama dan budaya dalam Islam.

Malah, lebih menggembirakan apabila ada pujian mengatakan dia tambah cantik ketika mengenakan tudung.

“Saya rasa sangat tenang bila memakai tudung tetapi bila buka tudung, saya rasa macam kosong.

“Bila saya bertudung, membuatkan saya lebih memahami agama dan budaya Islam. Ramai juga yang puji, kata mereka saya lebih cantik bertudung. Saya pun rasa betul dan kelihatan cantik bila bertudung.

“Lagipun apabila bertudung, kita tak perlu lagi nak susah-susah dandan rambut, kan,” katanya.

Dalam pada itu, Amber menyatakan bukan saja pengalaman bertudung tetapi memandangkan Ramadan bakal tiba kira-kira dua hari saja lagi. Justeru, pada tahun ini dia juga berazam mahu berpuasa selama sebulan.

Katanya, dua tahun lalu dia pernah berpuasa selama 10 hari. Ketika itu terlibat dalam menjayakan satu kerja amal sekaligus membuatkan dia terpanggil mengalami pengalaman berpuasa.

“Ya, tahun ini saya mahu cuba berpuasa selama 30 hari. Saya nak rasa sendiri pengalaman bagaiamana jika tiada makanan.

“Selain itu, berpuasa ini sebenarnya bagus juga sebagai amalan berdiet.

“Saya sebenarnya tidak kisah jika tidak makan cuma saya tidak tahan dahaga. Dua tahun lalu saya ada cuba berpuasa, cuma saya jadi sangat tidak bermaya kerana terlalu dahaga.

“Namun, pada tahun ini saya mahu cuba lagi. Saya juga mahu rasa pengalaman bangun bersahur,” katanya, lalpor Malaysian Digest./klpost

Tiada ulasan: