Agensi

ANTARA barangan yang dirampas polis dari bilik suspek. FOTO Agensi / The Pattaya News
Pattaya: Serbuan polis ke sebuah bengkel membaiki kenderaan di daerah Banglamung bagi menahan seorang mekanik yang diburu berhubung kes pecah amanah membawa kepada penemuan mengejutkan apabila lebih 40 helai coli dan seluar dalam wanita terpakai ditemukan di dalam biliknya, lapor ThaiThuk.
Tangkapan pada 3 November lalu itu turut membawa kepada penemuan dadah, peralatan menghisap bahan terlarang serta telefon bimbit yang mengandungi beberapa klip video dipercayai dirakam secara sembunyi.
Suspek dikenali sebagai Jeerasak atau Chiang Tom, 33, diberkas kira-kira jam 10 malam di sebuah bengkel di Moo 4, Takhian Tia, daerah Banglamung, pinggir Pattaya.
Operasi itu diketuai Ketua Balai Polis Banglamung, Kolonel Polis Sarawut Nuchanart bagi melaksanakan waran tangkap terhadap suspek berhubung kes pecah amanah.
Menurut polis, pemeriksaan lanjut di bilik suspek menemukan 0.79 gram kristal methamphetamine, sebiji pil yaba, paip buluh, pemetik api, kerajang timah serta beg makanan ringan kosong yang digunakan untuk menghisap dadah.
Jumlah dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri dan bukannya bagi tujuan pengedaran.
Bagaimanapun, penemuan lebih 40 helai seluar dalam wanita terpakai yang disimpan di dalam bilik suspek serta beberapa klip video dalam telefon bimbitnya turut menarik perhatian pihak berkuasa.
Suspek mengakui waran tangkap berkenaan dikeluarkan terhadapnya selain mengaku mengambil dadah.
Mengenai puluhan coli dan seluar dalam itu, suspek mendakwa barangan berkenaan sekadar koleksi peribadi yang kebanyakannya dikutip dari tong sampah atau tepi jalan sebelum dicuci dan disimpan. Dia turut menafikan mencurinya dari rumah orang lain.
Suspek juga mendakwa klip video dalam telefon bimbitnya hanya dirakam bagi menguji fungsi kamera. Bagaimanapun, polis tidak menerima penjelasan itu begitu sahaja.
Pihak penyiasat kini meneliti rakaman berkenaan dan tidak menolak kemungkinan tindakan lanjut diambil sekiranya individu yang dirakam tampil membuat laporan polis.
Setakat ini, suspek berdepan dua pertuduhan berkaitan dadah iaitu memiliki narkotik Kategori 1 dan menggunakan methamphetamine tanpa kebenaran.
Sementara itu, waran tangkap berkaitan kes pecah amanah yang membawa kepada penahanannya akan diuruskan secara berasingan menerusi mahkamah yang mengeluarkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan