"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gandingan anak Nik Aziz, Hadi terajui Pemuda PAS

Nik Abduh, anak ikon ulama PAS allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, merampas kerusi ketua Pemuda parti Islam itu.

Beliau mengalahkan penyandang jawatan itu Suhaizan Kaiat yang baru sepenggal memimpin dewan itu.

Nik Abduh mendapat 429 undi manakala Suhaizan mendapat 262 undi.

Hanya dua kertas undi yang rosak untuk pemilihan jawatan tersebut.

Jawatan timbalan ketua Pemuda pula dimenangi oleh Khalil Abdul Hadi dengan 435 undi.

Manakala pencabarnya Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob hanya memenangi 257 undi.

Keputusan Pemuda hari ini menepati 'chai' kumpulan proulama yang diedarkan sebelum ini.

Sebelum itu, ketika para perwakilan berdebar-debar menunggu keputusan pemilihan, Suhaizat, dalam ucapan penggulungan, mengucap tahniah kepada barisan kepimpinan baru.

Suhaizan yang merupakan penyandang jawatan ketua Pemuda PAS, dengan tersenyum, turut mengucapkan terima kasih kepada semua kerana memberi kerjasama sepanjang beliau menerajui Pemuda PAS.

"Terima kasih kepada semua yang beri kerjasama pada Pemuda PAS.

"Belum ada pengumuman lagi tapi kita semua tahu dah. Saya ucapkan tahniah pada pimpinan yang baru," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pergulungan pada Muktamar Pemuda di Shah Alam petang ini.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: