"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Bukit Kepong: Mat Sabu bebas tuduhan memfitnah polis

LOOI SUE-CHERN
Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu yang dituduh memfitnah polis Bukit Kepong, dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini. – Gambar oleh Hasnoor Hussain, The Malaysian Insider, 8 Julai, 2015..
Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu yang dituduh memfitnah polis Bukit Kepong, dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini. – Gambar oleh Hasnoor Hussain, The Malaysian Insider, 8 Julai, 2015.

Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini membebaskan bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu yang dituduh memfitnah polis Bukit Kepong dan keluarga mereka.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Keputusan tersebut disambut dengan sorakan Allahuakbar daripada mereka yang hadir di galeri.

Mat Sabu didakwa membuat fitnah menerusi kenyataannya berhubung kejadian Bukit Kepong pada 1950, yang menyaksikan 25 anggota polis dan keluarga mereka dibunuh oleh komunis.
Beliau didakwa berkata, Mat Indera yang mengetuai serangan itu adalah seorang wira negara dalam melawan British. Beliau dikatakan membuat komen itu pada satu ceramah di Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.

Beliau juga didakwa mengatakan pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dan perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman tidak layak digelar wira negara kerana mereka juga hamba penjajah British, dan pembangkang (Pakatan Rakyat) akan menulis semula sejarah negara ini jika mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ucapannya menimbulkan kekecohan terutama di kalangan ahli keluarga polis Bukit Kepong yang terbunuh dalam serangan itu.

Banyak laporan polis dibuat terhadapnya oleh persatuan bekas polis, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) membantah kenyataannya.

Bercakap di luar mahkamah selepas itu, Mat Sabu mengucapkan syukur di atas keputusan mahkamah itu dan berterima kasih kepada semua yang menyokongnya selama ini.

Katanya, beliau kini akan memberi tumpuan kepada usahanya menubuhkan sebuah parti dan gabungan pembangkang baharu.
-malaysianinsider-

1 ulasan:

man man berkata...

Tahniah Bang Mat.