"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis AS ‘belasah’ pelajar perempuan (video)


Rakaman video seorang anggota polis Amerika Syarikat bertindak kasar terhadap seorang pelajar perempuan berkulit hitam di sebuah sekolah tinggi di sini, termasuk mengepit kepala dan menarik pelajar itu hingga jatuh dari kerusi sebelum mengheretnya keluar kini menjadi viral di media sosial.

Ia menambah imej buruk polis Amerika Syarikat yang dikecam kerana bertindak kasar serta keganasan terhadap penduduk kulit hitam.

Kejadian terbaru itu berlaku Sekolah Tinggi Spring Valley di Columbia, Carolina Selatan, hari ini dan menurut stesen televisyen tempatan, WIS, ia mendapat dua rakaman video kejadian itu.

Rakaman video dengan hashtag #AssaultAtSpringValleyHigh kini merebak pantas di Twitter.

Dalam video itu yang dirakam pelajar lain dalam kelas berkenaan, anggota polis berkenaan memasuki kelas dan bercakap sebentar dengan mangsa yang duduk di mejanya sebelum mencekak leher, menariknya hingga jatuh dari kerusi sebelum mengheretnya keluar sambil dilihat pelajar lain yang terdiam kerana terkejut dan takut.

Pelajar perempuan itu dilihat tidak memberi sebarang tentangan dan dia sememangnya tidak berpeluang untuk menentang.

Jurucakap Jabatan Syeriff Daerah Richland, Curtis Wilson, berkata pelajar itu sudah beberapa kali diarahkan meninggalkan kelas tanpa menyatakan sebabnya tetapi dia enggan.

Media Amerika menyatakan anggota polis itu ialah Ben Fields, seorang daripada dua anggota yang ditugaskan ke sekolah berkenaan. Fields sudah diberi tugas pentadbiran ketika siasatan kejadian itu.

Menurut NBC, Fields pernah dinamakan sebagai defendan dalam kes saman pada 2013 yang mendakwa dia bertindak tidak adil mensasarkan pelajar Afrika-Amerika dengan menuduh mereka anggota kumpulan samseng.
-hmetro-

Tiada ulasan: