"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Antara ceramah Khalid Samad dan babi menangis

Rozhan Othman

Jumaat lalu, 2 peristiwa menarik berlaku.

Pertama ialah keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengekalkan sabitan terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang didapati bersalah kerana memberi ceramah tanpa tauliah di sebuah surau.

Kedua ialah ceramah sebelum solat Jumaat di surau Seksyen 2 Shah Alam. Penceramah telah membaca sebuah buku, yang di antara lain, menyebut mengenai peristiwa babi menangis.

Khalid didapati bersalah kerana memberi ceramah mengenai Palestin di sebuah surau di Klang. Kandungan ceramahnya tidak menjadi isu pertikaian dalam kes ini. Tiada dakwaan bahawa Khalid menyatakan sesuatu yang menyesatkan atau menyinggung sesiapa atau menghina mana-mana pihak. Beliau disabitkan bersalah semata-mata kerana memberi ceramah tanpa tauliah.

Oleh kerana ceramah tersebut diberikan di dalam surau, ia dianggap ceramah agama dan Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor).

Sekiranya, Khalid memberi ceramah yang sama di tepi longkang atau di kedai kopi beliau tidak akan dianggap melakukan kesalahan. Jika dia memberi ceramah yang sama di gereja atau di kuil, dia juga tidak akan dianggap melakukan kesalahan. Lebih mudah untuk Khalid memberi ceramah mengenai Palestin di rumah ibadat agama lain daripada rumah ibadat agamanya sendiri.

Dalam ceramah di surau Seksyen 2 Shah Alam pula, seorang berpakaian jubah dan serban putih, kemungkinan besar bergelar ustaz, membaca kisah dari sebuah buku. Ia mengenai seorang ulama bernama Abu Abdullah Al-Andalusi. Menurut kisah yang dibaca penceramah ini, Abu Abdullah ialah seorang ulama terkenal yang mempunyai seramai 12,000 orang murid.

Pada satu hari, Abu Abdullah jatuh hati pada seorang gadis bukan Islam yang amat jelita. Lalu dia pun meminang gadis ini. Bapa gadis ini meletakkan syarat jika Abu Abdullah ingin mengahwini anaknya, dia perlu hidup mengembala babi. Mengikut kisah yang dibaca penceramah ini, Abu Abdullah pun bersetuju dengan syarat ini dan hiduplah beliau sebagai pengembala babi.

Anak murid Abu Abdullah menjadi resah dengan ketiadaannya. Pada satu hari mereka pergi menemuinya. Apabila mereka tiba menemuinya, Abu Abdullah berasa malu dan sedih lalu menangis. Menurut kisah yang dibaca penceramah, murid-muridnya pun merasa sedih melihat Abu Abdullah menangis dan turut menangis. Dan kemudian babi-babi yang berada bersama mereka pun turut sedih dan menangis!

Seorang yang berfikiran rasional dan munasabah sudah tentu akan merasa pelik dengan cerita ini. Apakah kisah Abu Abdullah ini kisah benar atau dongengan? Bagaimanakah seorang ulama yang dikatakan hebat dengan mudah tumpas pada kejelitaan seorang gadis? Bagaimanakah seorang ulama yang dikatakan hebat sanggup meninggalkan murid-muridnya serta amalan yang boleh mendekatkan dirinya pada Allah dan hidup sebagai gembala babi? Apakah benar babi boleh menangis bila melihat manusia menangis? Sungguh berempati babi-babi Abu Abdullah!

Namun, ceramah karut ini tidak pula menjadi satu kesalahan. Tiada pula laporan bahawa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penceramah berkenaan. Imam yang memberi khutbah dan memimpin solat Jumaat selepas ceramah ini pun tidak berkata apa-apa atau menegur penceramah yang memberi ceramah karut ini.

Tauliah gagal jamin

Sebelum ini, seorang ustaz yang terkenal kerana ceramahnya yang suka mencaci-cerca orang-orang lain juga dibiarkan sahaja dengan tindak-tanduknya. Selepas beliau mengkritik seorang raja Melayu, barulah tauliahnya ditarik balik. Kata-kata serta cemuhannya sebelum itu tidak mengundang sebarang tindakan pihak berkuasa.

Ini menimbulkan persoalan, apakah sebenarnya tujuan peraturan wajib memiliki tauliah untuk memberi ceramah agama? Adakah ia untuk memastikan mereka yang berceramah benar-benar berilmu dan menyampaikan kebenaran? Atau adakah ia untuk memastikan penceramah tidak mengkritik golongan pemimpin?

Adakah ia bermakna seseorang yang bertauliah boleh memberi ceramah yang mengapi-apikan permusuhan atau membawa kisah karut babi menangis akan dibiarkan saja asalkan dia tidak mengkritik pemerintah dan bukan dari pihak pembangkang?

Undang-undang digubal untuk memenuhi sesuatu hasrat. Namun, undang-undang bukanlah suatu yang sempurna. Undang-undang yang baik adalah adil dan dikuatkuasakan secara berhemah.

Namun, adakalanya ada undang-undang yang baik menjadi zalim bila dikuatkuasa tanpa hemah dan hikmah atau dikuatkuasakan secara pilih kasih.

Demikian juga, penguatkuasaan undang-undang secara jumud boleh menyebabkan kezaliman.

Kita semua sedia maklum bahawa Umar al-Khattab menggantung penguatkuasaan hudud ke atas pencuri ketika berlaku kebuluran di Madinah. Ini menunjukkan dalam Islam, menjamin keadilan adalah lebih utama daripada penguatkuasaan undang-undang.

Adalah pelik bila penceramah kisah karut mengenai babi menangis tidak dikenakan sebarang tindakan. Apabila mereka yang sepatutnya menegakkan kebenaran dan keadilan membisu dalam keadaan sebegini, tidaklah hairan kesesatan dan kepalsuan semakin merebak.

Dan tidaklah hairan jika satu hari nanti babi pun menangis melihat kesongsangan di kalangan umat Islam.

* Dr Rozhan Othman ialah pembaca FMT.

Tiada ulasan: