"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS tiada peluang jadi progresif, kata ahli seumur hidup Wan Saiful

Farhan Darwis
PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata beliau masih merupakan ahli seumur hidup PAS.

“Saya masih bawa kad ahli PAS saya ke mana-mana, kerana keahlian adalah seumur hidup,” katanya pada persidangan antarabangsa anjuran Istanbul Network di sini di mana beliau membentangkan kertas kerja mengenai hala tuju parti Islam itu.

Bagaimanapun, Wan Saiful menjangkakan beliau akan disingkir keahliannya.

“Lambat laun mungkin mereka akan pecat saya… tetapi saya tunggu mereka pecat saya,” katanya.

Wan Saiful menyertai PAS pada 1997 ketika masih belajar.

Badan pemikir beliau, Ideas, kerap dikaitkan dengan pendekatan liberal, sesuatu yang kerap diserang PAS.
“Semua orang pernah buat salah,” katanya bergurau merujuk keputusannya menyertai PAS.

Dalam kertas kerjanya bertajuk “Evolusi Islamisme dalam Politik Malaysia: Perpecahan Parti Islam SeMalaysia dan Penyebaran Idea Progresif”, Wan Saidul berkata PAS tidak akan sesekali bertukar menjadi parti progresif.

Sebaliknya, kumpulan yang cuba membawa idea progresif dalam parti itu kini tersingkir dan membentuk Amanah.

“Ada yang kata antara 1998 hingga 2010, PAS berubah menjadi lebih progresif dan golongan progresif diberikan jawatan dalam parti.

“Golongan itu bagaimanapun dalam pemilihan ketika muktamar mereka pada 2015 ditendang keluar kerana dilihat terlalu berpengaruh,” katanya.

Wan Saiful berkata, dalam senario di Malaysia, tiada kumpulan yang benar-benar progresif.

Begitu juga, tambahnya, Amanah hanyalah membawa fahaman neo-konservatif.

“Bagi saya progresif ini mengatakan mengenai tanggungjawab individu, di Malaysia parti politik masih memperkatakan tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya.

“Progresif di Malaysia masih belum menjadi ‘arus perdana’,” tambahnya

Tiada ulasan: