"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak rogol ibu, pekerja kilang diperintah bela diri

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Tertuduh (tengah) diiring keluar dari mahkamah seksyen Taiping oleh anggota polis bertugas.

TAIPING - Seorang pekerja kilang diperintahkan membela diri selepas Mahkamah Sesyen di sini, hari ini meminda pertuduhan daripada merogol kepada mencabul ibu kandungnya, tahun lalu.

Hakim, Che Noralashiken Abd Razak membuat keputusan itu terhadap tertuduh berusia 22 tahun itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu didakwa melakukan kesalahan itu terhadap ibunya berusia 50 tahun pada 8 Mac tahun lalu.

Tertuduh yang bekerja di sebuah kilang tayar didakwa melakukan perbuatan itu di rumah keluarga mereka di Kamunting pada jam 7 malam.

Pertuduhan pada asalnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kemudiannya dipinda mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu pada akhir kes pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun mengemukakan enam saksi pendakwaan termasuk mangsa sepanjang perbicaraan.

Tertuduh pula diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M Kathan.

Mahkamah menetapkan 19 Oktober depan sebagai tarikh perbicaraan.

Pada 16 Mac tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Sabri Ismail.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 selain mensyaratkan suspek tidak mendekati mangsa sepanjang tempoh jaminan.

Tiada ulasan: