"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menurut Utusan: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ezam Mohd Nor disebut-sebut tanding di PD

Portal Utusan Malaysia hari ini melaporkan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah antara disebut-sebut akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Menurut laporan itu, Abdul Khalid, 72, akan bertanding di bawah tiket PAS dan dilihat sebagai calon yang mampu mencabar populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan itu, walau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang sumber tetapi berkata rekod bersih dan prestasi cemerlang Abdul Khalid sepanjang menjadi menteri besar dari 2008 hinga 2014 adalah sandaran terbaik untuk berdepan dengan pengaruh Anwar.

Seorang lagi calon dikatakan bakal bertanding ialah seorang lagi bekas pemimpin reformasi Datuk Mohd Ezam Mohd Nor yang akan menggunakan tiket Bebas.
Portal itu berkata, Mohd Ezam, 54, akan membuat pengumuman malam ini. Malaysiakini sedang cuba menghubungi kedua-dua mereka bagi mendapatkan ulasan mereka.

Jika spekulasi itu adalah benar, PRK Port Dickson bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Sebelum ini, calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong, 51, dan calon dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) sah bertanding.

Bekas Setiausaha Agung MIC Datuk S Kumar turut menyatakan hasrat untuk bertanding, tetapi menarik diri selepas perbincangan dengan pucuk pimpinan parti berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari pengundian sementara penamaan calon ialah pada Sabtu.

Kerusi Port Dickson dikosongkan oleh wakil rakyatnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon BN Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU14. Tiga pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, semuanya di Selangor.
-malaysiakini

Tiada ulasan: