"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Biarkan Najib terus merempit atas kapcai - Rafizi

Masanya telah tiba bagi Pakatan Harapan (PH) untuk bergerak ke hadapan melangkaui skandal 1MDB dan bekas perdana menteri Najib Razak serta menumpukan untuk memperbaiki kehidupan rakyat, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Ini kerana rakyat telah membantu menghentikan 'rompakan' tersebut, kata Rafizi.

"Rakyat telah mengambil tindakan untuk menghentikan rompakan dan kecurian itu, walaupun ada yang sedikit terlambat.

"Tetapi keperluan mendesak untuk menghentikan rompakan dan kecurian wang negara itu telah dicapai.

"Kini, tiba masanya untuk memberi tumpuan memperbaiki kehidupan rakyat," katanya.

Rafizi berkata menjadi keutamaan kerajaan membantu golongan muda mencari pekerjaan.

Terlibat perniagaan

"Membantu seberapa ramai orang muda mencari pekerjaan dan memadankan mereka dengan seberapa ramai majikan kecil dan sederhana yang memerlukan pekerja.

"Saya juga percaya kita boleh membantu orang (supaya) mudah menambah kebolehpasaran mereka tanpa membelanjakan satu sen pun duit kerajaan, seperti yang dibuat oleh Najib (yang tidak pun banyak membantu orang muda dan majikan walaupun beratus juta dibelanjakan)," tulis beliau.

Menurut Rafizi, kerajaan juga patut menggalakkan rakyat, terutamanya orang Melayu untuk terlibat dalam bidang perniagaan.

"Paling bagus, ia akan meyakinkan orang Melayu/ bumiputera bahawa mereka juga boleh bersaing dalam perniagaan tanpa menuding jari kepada sesiapa," katanya lagi.

Bekas anggota parlimen Pandan berkata pengkritiknya daripada kalangan orang PAS dan Umno akan terus "meroyan" kerana golongan itu mahukan Najib kembali menjadi perdana menteri.

"Penyokong PAS Umno yang suka meroyan di Facebook saya akan terus meroyan.

"Mereka memang begitu dari dulu pun kerana mereka adalah #pencintaNajib asalkan Najib menjadi perdana menteri semula, mereka tidak malu pun berketuakan seorang yang dikaitkan dengan rompakan wang rakyat terbesar dalam sejarah dunia," jelasnya.

Rafizi turut berkata bekas perdana menteri itu boleh terus bermimpi untuk kembali berkuasa kerana populariti di media sosial tidak bermaksud orang dengan mudah dapat melupakan kesilapannya.

"Satu dua tahun dari sekarang, bila usaha itu membuahkan hasil, Najib akan terus merempit di atas kapcai dan di media sosial.

"Dan biarkanlah beliau merempit – itu hak beliau, asalkan beliau tidak memakan harta rakyat," katanya lagi.

Najib sedang berhadapan 38 tuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, selain didakwa terbabit dalam skandal 1MDB.

Anggota parlimen Pekan itu menafikan semua tuduhan tersebut dan sedang dibicarakan mahkamah.

Tiada ulasan: