"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tok Pa dedah apa berlaku jika BN menang PRU14

Annabelle Lee

PRK CAMERON | Bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Mustapa Mohamed menggesa pengundi Cameron Highlands menolak BN pada hari mengundi PRK Cameron Highlands 26 Januari ini.

Berucap dalam ceramah kelompok di Kampung Kuala Medang malam tadi, beliau membangkitkan dakwaan kegagalan pentadbiran BN memulangkan RM19 bilion bayaran balik GST, dan RM16 bilion bayaran balik cukai pendapatan dan hartanah, kepada rakyat.

Beliau juga menyuarakan kekesalannya berhubung Felda yang menanggung hutang sebanyak RM8 bilion.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata BN akan membawa negara ke kancah masalah yang lebih besar jika terus memerintah selepas PRU ke-14.

"Inilah himpunan masalah yang kita hadapi. Jika BN terus memerintah negara ini, negara kita akan menghadapi masalah yang cukup besar... Makin teruk di masa depan.

"(BN) buat benda yang tak boleh bertahan lama. Satu hari syok, tetapi suatu hari nanti ketika kita kena bayar hutang, kita kena bayar (dengan) harga yang begitu tinggi," katanya lagi.

Ceramah kelompok itu bertempat di Jelai, sebuah kubu kuat BN. Kira-kira 50 penduduk yang hadir dan kebanyakannya tidak duduk di bahagian depan dan mengelak ketika pemberita mengambil gambar.

Mustapa menegaskan beliau tidak tahu-menahu tentang dakwaan skandal yang berlaku, ketika beliau berada dalam pentadbiran BN.

"Sebenarnya saya pun tak tahu benda ini (dulu), kita menteri dulu tak tahu.

"Kita bukan menteri kewangan. Mutakhir ini baru dengar (tentang skandal yang didakwa berlaku)," katanya.

Sokong pentadbiran Mahathir

Anggota parlimen Jeli itu keluar Umno September lalu dan menyertai Bersatu sebulan kemudian. Semalam adalah kali pertama beliau berkempen untuk Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga berulang kali meminta hadirin menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Kita hadapi masalah besar hari ini (yang) memerlukan kepimpinan hebat yang dapat diberikan Mahathir dan pasukannya," katanya.

Dalam satu ceramah oleh Umno dan PAS pada malam sebelumnya, beberapa pemimpin parti itu mendakwa DAP mahu menghapuskan hak istimewa Melayu, Raja-raja dan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dakwaan itu dinafikan Mustapa, yang mengatakan DAP dan PH komited mempertahankan perkara yang termaktub dalam perlembagaan.

"Mereka (Umno dan PAS) memainkan hal berkaitan agama dan bangsa.

"Saya harap tuan-tuan berfikir... Pada pilihan raya ini ada yang jual ubat untuk dapatkan undi, macam-macm cerita fitnah dan tohmahan," katanya lagi.

Tiada ulasan: