"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Chef Wan teringin nak tampar Najib

Annabelle Lee

PRK CAMERON | Sebagai anak yang membesar di petempatan Felda, isu agensi kerajaan itu tetap amat dekat di hati Chef Wan. Dan ia dipaparkannya sekali lagi di Cameron Highlands hari ini.

Semasa hadir berkempen untuk PH di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai tadi, Chef Wan juga dengan garang menyatakan rasa kecewanya kepada BN, khususnya kepada presiden gabungan itu, Najib Razak.

Puncanya, Chef Wan tidak merestui langkah Felda - semasa ditadbir kerajaan BN - memberikan imbuhan kepada peneroka yang dianggapnya rasuah.

"Sebelum pilihan raya lalu mak saya dapat RM5,000 dan anak-anak Felda dapat RM5,000.

"Mak saya kata, kerajaan bagi RM5,000 (tapi) saya cakap pada dia, saya tak nak ambil duit tu. Itu duit rasuah," katanya kepada media.

Terdahulu cef selebriti itu hadir untuk berkempen dan mengadakan demonstrasi memasak di petempatan Felda berkenaan.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan calon PH, M Manogaran.

Untuk rekod Jelai adalah salah satu kawasan yang terletak di bawah kawasan parlimen Cameron Highlands dan menjadi salah satu kubu kuat BN.

Wakil rakyat bagi Jelai ialah Wan Rosdy Wan Ismail yang juga menteri besar Pahang.

Itu duit rakyat

Kata Chef Wan pemberian wang berkenaan tidak bermakna jika pada waktu yang lain kerajaan BN 'merompak' agensi terbabit sehingga bankrap.

"Macam mana kamu (Najib) boleh biarkan Felda disalah urus begitu? Come on!

"Kamu letak Isa Samad (bekas pengerusi Felda) di situ dengan tahu ada bermacam hal dia buat sebelumnya.

"Kalau dia (Isa) ada di sini I tampar muka dia," katanya.

Tidak puas dengan kenyataan itu Chef Wan juga menyatakan dia mahu menampar Najib.

“I tampar muka Najib tu, kurang ajar!" katanya.

Kata personaliti yang mempunyai nama sebenar Redzuawan Ismail itu dia tidak peduli apa pun dengan tindakannya kerana terlalu marah dengan cara kerajaan terdahulu menguruskan wang rakyat.

"Aku peduli apa, itu duit cukai (rakyat) yang letak di situ, kamu beritahu dia benda tu," katanya lagi.

Pada 18 Julai lalu Najib menyifatkan Felda melalui zaman kegemilangan semasa ditadbir oleh kerajaan di bawah pimpinannya.

Najib yang juga bekas menteri besar Pahang berkata demikian semasa berkempen di Jelai.

"Kenapa pula zaman BN memerintah tuan-tuan boleh dapat RM2,000 hingga RM3,000 sebulan?

"Kenapa zaman BN memerintah boleh mendapat pinjaman tanpa faedah membesarkan rumah?

"Kenapa zaman BN tuan-tuan boleh dapat bonus yang tinggi, boleh dapat duit raya, boleh dapat BR1M? boleh mendapat bantuan persekolahan?" soal beliau kepada kira-kira 300 hadirin yang kebanyakannya memakai baju BN.

"Sebab zaman BN memerintah itu zaman keemasan para peneroka Felda," jelas beliau.

Ditanya mengapa berkempen untuk PH hari ini, Chef Wan yang memang terkenal suka berterus-terang itu berkata, beliau mahu rakyat mengetahui kebenaran.

"Sebab yang benar tetap benar," katanya.

Tiada ulasan: