"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Netizen kecoh menemui lelaki mirip seniman P Ramlee dari Sabah

FMT Reporters

Raut wajah dan kelunakan suaranya saling tak tumpah seperti seniman tersohor, Tan Sri P Ramlee. Lelaki dari Sabah ini viral selepas memuatnaik video menyanyikan lagu seniman lagenda itu.

Fairuz Misran, 34 tahu tidak pernah menyedari dirinya mempunyai rupa paras seiras P Ramlee sehinggalah diberitahu netizen dalam alam maya.
Berasal dari Sandakan dan dibesarkan di Kimanis, Kota Kinabalu, Fairuz akui P Ramlee sememangnya idola beliau sejak kecil khususnya bagi lagu-lagunya yang sarat dengan maksud tersirat.
“Saya berharap sangat golongan muda akan terus menghargai lagu-lagu dan filem beliau. Beliau seorang yang tiada tandingan dan bakat serta kehebatannya dalam dunia seni tidak boleh dipersoal.
“Lagu yang paling saya minati ialah lagu, ‘Di mana kan ku cari ganti’ daripada filem Ibu Mertuaku (1962) kerana maksud lagu yang sangat mendalam dan sedih ditonton,” katanya semasa dihubungi FMT Ohsem.
Fairuz viral di Facebook menerusi sebuah rakaman video berdurasi 5 minit 6 saat menyanyikan ‘Maafkan Kami’ daripada filem Pendekar Bujang Lapuk di mana beliau meniru suara dan gaya P Ramlee mencuit hati.
Fairuz yang kini menetap di Labuan berniaga membekalkan makanan untuk kapal laut sebagai pekerjaan sepenuh masanya.
“Pada usia 17 tahun, saya menyertai satu pertandingan di Membakun. Ketika itu, saya merupakan peserta paling muda. Menariknya saya menjadi johan pertandingan tersebut setelah menyampaikan lagu P.Ramlee.
“Sejak itu, saya giat menyanyi dan menyertai apa sahaja pertandingan nyanyian melibatkan P Ramlee. Malah, pada 2012, saya dinobatkan sebagai johan Bintang P Ramlee 2 ekoran menyanyikan lagu berjudul ‘Barang yang lepas hai jangan dikenang’ dan ‘Hancur badan dikandung tanah’,” katanya.
Apabila ditanya jika dirinya bersedia melakonkan watak P Ramlee diberi peluang, Fairuz menyampaikan hasrat untuk menerima dan buat yang terbaik jika diberikan ruang dan peluang sedemikian.
Bagaimanapun, beliau akui bukan mudah dirinya meniru gaya lakonan seperti P.Ramlee kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Tiada ulasan: