"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Ada maklumat PAS bayar editor Sarawak Report, akan dedah malam ini

Mohamad Fadli
KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa dia mempunyai maklumat PAS ada membayar editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia akan didedahkan malam ini dalam ceramahnya di pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

“Saya ada maklumat yang cukup, untuk buktikan bahawa PAS ada bayar kepada Rewcastle-Brown. Saya akan jelaskan secara terperinci malam ini nanti di Semenyih.” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2018.

Sebelum ini, Anwar di satu program di Pulau Pinang mencabar PAS menyatakan jika ia membayar wang lebih RM1 juta kepada Rewcastle-Brown untuk menyelesaikan kes saman Hadi.

Menyahut cabaran itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata ada 3 perkara penting dalam perintah persetujuan yang direkodkan di mahkamah iaitu Hadi tidak meneruskan tuntutannya, Rewcastle-Brown tidak meneruskan tuntutan balasnya dan tiada perintah mengenai kos.

Oleh itu, Hadi tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada Rewcastle-Brown untuk penyelesaian kes di luar mahkamah, katanya dalam kenyataan.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan PAS sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Hadi kemudiannya menarik balik saman itu awal bulan ini.

Anwar memberitahu pemberita hari ini bahawa dia mempunyai keraguan sekitar penyelesaian kes saman Hadi itu, mengingatkan pemberita bahawa Sarawak Report tidak menurunkan laporan yang menjadi pertikaian itu.

“Clare tetap kekal tidak tarik balik,” katanya.

“Anehnya biasa kes saman sivil kita selesai dengan tarik balik atau minta maaf, kalau tak minta maaf pun dia padamkanlah.”

Presiden PKR ini berkata dia mendapat “maklumat tambahan” berkaitan penyelesaian kes saman Hadi semalam.

Tiada ulasan: