"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam cabar Pas datang berkempen menangkan calon PH jika benar sokong Dr M

ARIF ATAN
Pendirian Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa partinya teguh menyokong Tun Dr Mahathir tidak bermakna tanpa sokongan Pas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa berkata, sokongan Pas kepada kepimpinan Perdana Menteri adalah dialu-alukan tetapi perlu dibuktikan dengan menyokong calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

“Kalau ada undi tidak percaya di Parlimen, Pas kata semua Ahli Parlimen mereka sokong Tun Mahathir. Menteri Besar Kelantan juga buat kenyataan media bahawa kerajaan negeri yakin dengan kepimpinan Tun Mahathir.

“Sedangkan sebelum ini, ada pemimpin Pas menghina Tun Mahathir seperti tangannya masih berdarah dengan mangsa Memali, jahil agama, sudah tua.

“Pas sangat lunak dengan BN tetapi sangat agresif dengan Tun Mahathir. Sekarang, Pas kata Tun Mahathir bagus dan dipercayai.

“Kalau Pas kata sokong Tun Mahathir, saya mahu cabar Presiden dan Setiausaha Agung Pas juga Timbalan Presiden Pas dan pemimpin Pas, mereka mesti datang berkempen menyokong calon Pakatan Harapan,” tegasnya dalam ceramah di Dataran Putra Walk, Bandar Seri Putra kelmarin.

Walau bagaimanapun, kata Husam, pemimpin Pas bersifat “main talam dua muka” jika tidak berkempen menyokong PH dalam pertandingan empat penjuru, 2 Mac ini.

“Sekarang saya ulangi, kalau penyokong Pas betul-betul ikhlas menyokong kepimpinan Tun Mahathir, pemimpin Pas mesti datang berkempen untuk menyokong calon PH bagi PRK Dun Semenyih.

“Kalau pemimpin Pas tidak datang bermakna ia hanya “berbohong syarie”. Pas berbohong sudah jadi sunnah. Sunnah Pas ialah berbohong.

“Kalau betul dia (Pas) menyokong kepimpinan Tun Mahathir, bagaimana dia boleh melawan calon Tun Mahathir?” bidas bekas Naib Presiden Pas itu lagi.

Tiada ulasan: