"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kos tunai haji dijangka melambung tinggi, bukan harga ayam sahaja

MALAYSIA DATELINE

Selepas kenaikan harga ayam akibat kos bahan makanannya meningkat, kos menunaikan ibadat haji juga dijangka akan melonjak naik sehingga RM40,000 bagi setiap jamaah haji.

Menurut Berita Harian, kos haji dijangka naik akibat dari pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi susulan pandemik Covid-19

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata tidak mustahil peningkatan berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk penjarakan fizikal yang memaksa penginapan jemaah dihadkan kepada dua orang sebilik, pengangkutan dan saringan COVID-19.

“Jika dulu, satu bilik hotel boleh memuatkan sehingga lima orang, tetapi apabila dihadkan kepada dua orang, sudah tentu kos penginapan akan meningkat kepada setiap jemaah.

“Begitu juga perbelanjaan lain, termasuk pengangkutan ke Madinah pasti akan mempengaruhi peningkatan kos,” katanya kepada BH, hari ini.

Bernama pula melaporkan, jamaah haji yang menunaikan haji baru-baru ini terpaksa membayar RM15,000 ke 20,000 untuk tujuh hari, membabitkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie saja.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, peningkatan kos itu sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP yang perlu dipatuhi seperti penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.

Katanya, ini berdasarkan kos berkaitan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia serta Arab Saudi.

“Saya lihat ini (SOP) memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini saja jemaah haji perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, membabitkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie saja.

“Kos itu tidak termasuk kos penginapan hotel di Makkah dan Madinah serta makan minum, juga penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, maka bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini.

“Sebagai perbandingan, bayaran haji pada tahun 2019 ialah RM9,980 seorang untuk tempoh 40-45 hari menerusi subsidi haji,” katanya.

Tiada ulasan: