"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menumpang jalan VIP untuk ke syurga

Al-Abror Mohd Yusuf

Selepas lahirnya kerajaan baru yang dibidankan oleh tangan-tangan tertentu selepas menakik kaki Pakatan Harapan, ada suatu impian yang amat sederhana muncul.

Ia cukup sederhana sehinggakan ia tidak memerlukan perubahan dasar sesebuah kementerian, apa lagi menggubal akta baru atau meminda perlembagaan.

Sesuai dengan imejnya sebagai agamawan yang 'cool' sudah tentu bekas menteri di jabatan perdana menteri, Dr Zulkifli Mohamad boleh diharapkan untuk memberi kesedaran kepada sesetengah pengguna media sosial agar lebih berjurus.

Misalnya, berhenti menjadi pengadu domba, bersara daripada memakan upah dengan menipu serta menyamar itu ini untuk mencipta persepsi tertentu, serta mendamaikan kecurigaan antara kaum.

Namun persepsi umum ialah, bekas mufti Wilayah Persekutuan itu kelihatan lebih sibuk dengan hal-hal sepele seperti menyantuni anak selebriti atau melayan haiwan di zoo. Hal-hal berkaitan Mo Salah dan Liverpool pun seolah-olah terketepi.

Kini menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam disandang seorang pemimpin parti politik. Sebagai pemimpin parti sudah tentu Idris Ahmad bukan dinilai sekadar Catatan Dhuhanya saja. Dia sedang dinilai secara pakej, termasuk kata-kata dan ucapannya lama sebelum menjadi senator.

Dalam keadaan itulah tiba-tiba kita berasa sayu melihat bagaimana sesetengah orang Islam seperti berputih mata untuk memasuki Masjid Putra semasa mahu melaksanakan solat Jumaat.

Insiden itu tidaklah menyentuh hati sangat jika ia sekadar 'kedegilan' sesetengah orang terus berkumpul di depan pintu masuk masjid. Ia jadi sangat menghiris jiwa apabila ada orang kenamaan melangkah dengan penuh kelapangan untuk masuk sebelum pintu pagar ditutup.

Bukan dia seorang, tapi bersama-sama pengawal keselamatannya.

Lahir dari 'dakwah' keloloh

Pihak pentadbiran masjid pula memberikan justifikasi yang bukan meredakan rasa tidak puas hati orang ramai, bahkan menaikkan kemarahan. Ketika orang ramai membangkitkan layanan dua darjat, pihak masjid mempertahankan diri dengan membicarakan soal prosedur operasi standard.

"[...] baliklah" itu pula tidak kurang juga pedihnya kedengaran di telinga.

Sebenarnya selain mentarbiah pemakan-pemakan upah yang berkeliaran di media sosial, Idris dan pasukannya juga perlu melihat kepada budaya sesetengah penceramah dan pengkuliah yang sudah diterima ramai sebagai sesuatu yang boleh ditoleransi.

Membodohkan orang itu atau orang ini dalam kuliah atau ceramah - meskipun kerana bergurau - mungkin berkesan untuk memberi sedikit keceriaan dalam program pada 10 atau 20 tahun lalu, tetapi ia sudah tidak lagi sesuai dilakukan sesuka hati sekarang.

Menggunakan kata-kata kesat, kasar dan jelik juga kini tidak boleh lagi menjadi penentu sama ada seseorang itu ustaz, agamawan, 'pakar' motivasi atau pelawak.

Dan ada kemungkinan kebejatan yang dilakukan atas nama agama sekarang terlahir daripada dakwah keloloh yang seumpama itulah.

Di pihak VIP pula, cukup-cukuplah berasa anda berhak mendapat layanan istimewa. Yang sibuk, yang menggalas amanah, yang ingin sujud kepada Tuhan bukan anda seorang.

Sedang berminat memahami Islam. 

Semasa bercemin pada setiap pagi sebelum melangkah ke pejabat, cuba tenung diri sendiri untuk seketika dan tanyakan sama ada anda benar-benar memahami derita dan jerih rakyat jelata, atau rasa itu sekadar lakonan untuk meraih sokongan semata-mata.

Orang ramai sudah meluat sangat mendengar kisah-kisah VIP yang ke sana ke sini sambil membawa rombongan sesuka hati bersuka ria. Untuk menghalalkan perbuatan itu maka dinamakan lawatan tersebut sebagai urusan kerja.

Kalau sudah sedar anda terlewat untuk ke masjid ketika di masjid itu ada peraturannya dan ramai yang berdoa agar diberi ruang mengisi dewan sembahyang, sedarlah diri yang anda mungkin menafikan atau sudah mengambil hak orang lain.

Perubahan cara fikir dan bersikap dalam kalangan VIP itu boleh menjadi kenyataan jika kejadian berkenaan berlaku di sebuah negara yang matang pertimbangan politiknya serta tinggi maruah pengamalnya.

Masalah kita sekarang ialah, bagi sesetengah orang, dia berasa dirinya lebih mulia dan wajib diletakkan lebih tinggi berbanding orang lain. Kita masih hidup dalam sistem sosial yang berkasta-kasta dan ia amat sukar dikikis kerana struktur itu bukanlah peraturan yang bertulis.

Ia terpahat dengan kuat dalam pemikiran ramai orang hasil hidup mereka dibingkaikan sebagai hamba sejak sekian lama hinggakan ia direstui - dan cuba disakralkan - oleh golongan yang sepatutnya dihormati seperti ilmuan di menara gading.

Kemuncak nasib malang itu ialah, ia berlaku di sebuah institusi yang sangat tinggi, mulia dan dihormati bernama masjid.

Sedangkan masjid itu tempat semua orang menjadi setara iaitu hamba.

Di mata orang Islam pun ia begitu jelik, bayangkan bagaimana imej agama ini dinilai orang yang bukan Islam. Bagaimana pula jika takdirnya ada antara individu terbabit sedang berminat mendekati Islam dan tiba-tiba melihat bagaimana pihak masjid menguruskan jemaah.

Lebih malang ada orang yang mempertahankan - dengan hujah yang alahai - bahawa Islam memang begitu - memang merelakan amalan kasta sesama penganutnya.

Catatan Dhuha tidak memadai mengubah nasib malang ini.

Tiada ulasan: