"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jika ada perbalahan di tengah jalan dalam kerajaan, PH tidak akan libatkan diri

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pakatan Harapan menandatangani perjanjian persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bertujuan untuk memastikan supaya tiada lagi permainan nombor (game of numbers) yang berlaku antara parti-parti politik dalam negara.

Justeru kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Pakatan Harapan tidak akan melibatkan diri lagi sekiranya berlaku perbalahan di tengah jalan dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Supaya tidak ada lagi ‘game of numbers’, kalau pihak sana ada perbalahan di tengah jalan, kami tak akan melibatkan diri lagi. Biarlah rakyat lihat sendiri,” katanya dalam temubual Agenda Awani malam ini.

Salahuddin berkata, ketika ini pembangkang akan terus menjalankan peranan mereka untuk semak dan imbang perjalanan kerajaan.

Tegasnya, biarpun PH sudah menandatangani perjanjian persefahaman bersama kerajaan, itu tidak bermaksud PH akan melutut mahupun berdiam diri dari menuntut apa yang sepatutnya untuk rakyat.

Beliau menegaskan, dalam tempoh yang ditetapkan di dalam perjanjian tersebut, kerajaan perlu melaksanakan syarat pembangkang yang telah pun dipersetujui bersama antaranya membabitkan Rang Undang-Undang Lompat Parti.

Katanya, gagal membentangkan RUU tersebut, bermakna perjanjian mereka juga akan terbatal dengan sendirinya.

“RUU anti lompat parti ini kita tetapkan. Mesti dalam sesi ini dibawa. Jelas. Tak bawa batal lah. Ini bukan cakap-cakap (kosong) macam RUU355, bentang tapi tak lulus. Tidak. Kena bersetuju oleh dua-dua parti.

“Undi 18. PH tunai tanggungjawab bawa usul, pinda perlembagaan. Komitmen sekarang ini kalau dia tak buat, (perjanjian) batal.

“Kalau salah satu perkara ini tak ditunaikan dalam tempoh ditetapkan, dengan sendirinya memorandum ini terbatal. Kami tak rugi apa-apa kerana kita dah beri kerjasama. Kalau tak jadi, kesalahan itu di pihak kerajaan,” ulasnya lagi.

Tiada ulasan: