"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas keluar parti, Khairuddin dedah kerjasama Pas-PN tak ikut perlembagaan parti

FAZLI RADZI

Selepas mengumumkan pendiriannya keluar daripada Pas, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendedahkan proses kerjasama parti itu dengan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas tersebut mendakwa perjanjian yang ditandatangani Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan PN itu tidak melalui proses sah mengikut lunas perlembagaan parti.

“PN ditubuhkan tanpa mengikut lunas perlembagaan parti, hanya dengan tandatangan surat oleh presiden parti dan nasihat dua tiga orang sahaja.

“Ia ditandatangani, bersetuju untuk tubuhkan PN tanpa dibawa kepada jawatankuasa harian pusat, tanpa ada kertas kepada ahli jawatankuasa Pas Pusat, tanpa dibawa ke Majlis Syura Ulama dan dibahaskan untuk dilihat siasah syarie, maqasid syariahnya, belum dipersetujui tetapi sudah diluluskan,” ujarnya.

Khairuddin berkata demikian dalam rancangan Ruang Bicara di Bernama TV, malam tadi.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu menegaskan beliau sudah berusaha membetulkan kerjasama dengan PN supaya ia mengikut lunas perlembagaan parti.

“Ini contoh kesilapan tetapi apa yang berlaku kita diamkan, kita betulkan dalaman sahaja, maka sebab itu digunakan slogan pertahankan Muafakat Nasional (MN) dan perkasakan PN,” ujarnya.

Berbeza dengan Muafakat Nasional (MN) yang dicapai bersama Umno, beliau berkata, MN dicapai bersama Umno melalui tempoh yang panjang dan mengikut lunas perlembagaan parti.

Menurutnya, MN menjadi dasar parti yang dibuat menerusi proses yang hebat, bermula dengan kertas kerja di peringkat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan dibawa ke Majlis Syura Ulama mengikut peraturan Fasa 26 (9)(K).

Seterusnya, kata beliau, Majlis Syura meluluskan dua kali apabila dibawa ke muktamar iaitu pada 2018 dan 2019 sebelum akhirnya penubuhan MN dipersetujui.

“Draf MN dibawa ke dalam jawatankuasa kerja Pas Pusat, Majlis Syura dan diturunkan ke pusat, dibetulkan draf dan dibawa semula ke bawah.

“Kemudian barulah ditandatangani di hadapan ahli dan kepemimpinan Pas dan Umno di PWTC pada 14 September 2019.

“Ini contoh proses mengikut saluran dan proses dalam parti tetapi apa jadi pada PN,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: