"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sukar bagi Ismail Sabri untuk menangguhkan PRU15

Kini sukar PRU15 ditangguh, kata penganalisis

Imran Ariff

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pasti sukar mengelak desakan dari dalam partinya supaya pilihan raya umum (PRU15) diadakan awal susulan kemenangan besar Barisan Nasional di Johor, semalam.

Naib Presiden Umno itu juga perlu berhati-hati dalam memastikan bagaimana untuk menangguhkan PRU sekiranya itu yang mahu dilakukannya kelak, menurut penganalisis politik.

Dua pemimpin Ismail dalam Umno – Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Mohamad Hasan – lantang mendesak PRU diadakan awal. Begitu juga ramai penyokong di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, mereka yang bersepakat dengan Ismail lebih melihat perlunya kestabilan politik selain membangkitkan risiko sekiranya PRU diadakan dalam suasana pandemik.

Felo Kanan Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, sekiranya Ismail memilih untuk tidak membubarkan Parlimen susulan kemenangan di Johor, beliau perlu penuh berhati-hati dalam menguruskan persepsi awam supaya tidak dilihat seolah-olah gila kuasa.

“Ketika ini, persepsinya adalah (Ismail) keberatan mengadakan PRU15 kerana beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri lagi jika melihat kepada hierarki Umno, dengan Mohamad Hasan dan Ahmad Zahid Hamidi masing-masing memegang jawatan lebih tinggi daripadanya.

“Kemenangan besar untuk Umno akan mengakibatkan PRU15 sukar ditangguhkan. Beliau perlu meyakinkan semua bahawa penangguhan itu adalah disebabkan pandemik, bukan untuk mengekalkan jawatannya,” katanya.

Tambahnya, Ismail perlu berhati-hati dengan kata-kata digunakannya kerana jika tidak, golongan yang mendesak PRU diadakan awal akan menganggap seolah-olah beliau mahu memegang kuasa selama mana yang mampu.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, lebih baik sekiranya Ismail menangguhkan pilihan raya sehingga kepemimpinan Umno diperkemaskan menerusi pemilihan parti.

“Jika beliau mahu berkuasa untuk tempoh lama, beliau mesti menggunakan kelebihan jawatannya untuk memberi kata putus mengenai calon PRU yang dinamakan, seterusnya mencalonkan mereka yang setia kepadanya,” katanya kepada FMT.

Disoal sama ada Ismail berisiko mengasingkan penyokong akar umbi parti, Oh berpendapat perkara itu tidak mungkin mempengaruhi sebarang keputusan berkaitan dengan waktu pilihan raya diadakan.

“Kini ahli politik lebih memikirkan survival politik biarpun untuk tempoh singkat, berbanding sokongan politik untuk parti mereka dari satu-satu kumpulan masyarakat.

“Apapun, nampaknya pengundi Melayu akan terus menyokong Umno untuk tempoh terdekat ini.”

Tiada ulasan: