"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa saya kembali ke gelanggang politik?

Malaysiakini

Rafizi: Kenapa saya kembali ke gelanggang politik?

Rafizi Ramli

ULASAN | Keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini mengesahkan bahawa PKR dan Pakatan Harapan (PH) telah menjadi parti ketiga selepas BN dan Perikatan Nasional (PN).

Keputusan itu perlu diterima dengan terbuka dan tawaduk oleh semua rakyat Malaysia yang mendukung idealisme politik progresif yang dibawa PKR dan PH.

Ini adalah kekalahan keempat berturut-turut dalam beberapa siri pilihan raya negeri. Setiap kali PKR dan PH mengalami kekalahan, selain dari menyalahkan sesama sendiri, sehingga kini belum nampak strategi yang berlainan untuk menambat kembali hati rakyat.

Satu-satunya strategi yang diulang-ulang ialah pendekatan “khemah besar” untuk menyatukan semua parti yang bersaing dengan Umno/BN.

Terbaru, saya dimaklumkan Majlis Presiden PH bersetuju mengambil pendekatan untuk berbincang dengan PN mengenai kemungkinan bekerjasama dalam PRU ke-15.

Walaupun tidak ada tanda-tanda pun pendekatan “khemah besar” ini mendatangkan sebarang hasil setakat ini, ia kekal menjadi satu-satunya jalan yang difikirkan pimpinan PH seolah-olah keseluruhan pimpinan PH sudah mati akal untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat.

Kelesuan politik

PKR dan PH menang dalam PRU ke-14 kerana isu-isu yang dibawa ketika itu dekat dengan rakyat. Rakyat memahami kesan pentadbiran Najib Razak ketika itu kepada kehidupan seharian dan masa depan mereka.

Rakyat juga tertarik dengan beberapa penyelesaian yang dibawa untuk merungkai masalah ekonomi yang dihadapi.

Rentetan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas PRU ke-14 meyakinkan sebahagian rakyat (terutamanya pengundi atas pagar) bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama mereka.

Baik dari gabungan politik mana pun yang berkuasa, akhirnya kehidupan mereka tidak akan berubah. Yang berubah hanyalah siapa yang menjadi menteri dan mendapat keistimewaan yang datang dengan kedudukan.

Sebab itu Umno/BN boleh menang bergaya sedangkan sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah sejak 2018. Dalam keadaan sebahagian besar pengundi atas pagar merasakan PKR dan PH sudah tidak ada beza dengan Umno/BN atau PN, sebahagian besar dari mereka mengalami kelesuan politik.

Mereka mual dengan isu politik kerana tiada perbezaan ketara dari gabungan-gabungan politik.

Kelesuan politik ini juga berpunca dari pelbagai taktik yang dibawa gagasan-gagasan politik untuk mendapat kuasa selepas PRU ke-14.

Drama ‘Keluarga 69’

Di peringkat Persekutuan, Umno dan Bersatu boleh berkongsi kuasa tetapi memaki hamun sesama sendiri di luar. PAS boleh mendakap Umno demi kuasa (walaupun bermusuh sekian lama), kemudian memaki hamun kembali juga disebabkan kuasa.

PKR boleh dimainkan hidup-hidup oleh helah Umno konon untuk menyokong calon PKR menjadi perdana menteri, seolah-olah PKR tidak kenal siapa Umno.

DAP menyatakan pengkhianatan BERSATU meruntuhkan mandat rakyat, tetapi DAP juga yang menjadi broker persefahaman MOU untuk mengekalkan Perdana Menteri dari BERSATU (seterusnya bersambung dengan Perdana Menteri dari UMNO).

Terkini, pandangan terbaru ialah supaya Pakatan Harapan mencari jalan bekerjasama pula dengan Perikatan Nasional.

Di mata ahli-ahli politik ini adalah strategi demi meningkatkan peluang memenangi pilihanraya. Di mata rakyat biasa, politik Malaysia sudah menjadi drama Keluarga 69 seperti yang dinukilkan Allahyarham P Ramlee dahulu.

Saya memang kurang minat dengan politik sejak dari kecil. Saya tidak bercita-cita menerima jawatan awam kerana ia satu tanggungjawab. Jika kita tidak yakin boleh memikul sesuatu amanah, lebih baik kita beri laluan kepada orang lain.

Sejak 2019, saya telah menyuarakan pandangan yang tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan (dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat) demi untuk mendapat kuasa. Suara saya menjadi suara minoriti di kalangan pimpinan PKR, apatah lagi di kalangan PH.

Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada di dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju.

Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian dari pimpinan. Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawaban (“accountability”).

Sebab itu, saya sangat gembira untuk kembali ke kehidupan sebagai rakyat biasa dan memberi ruang sepenuhnya kepada pimpinan PKR dan PH memikat kembali hati rakyat untuk memegang tampuk pentadbiran negara.

Jika mereka yakin taktik membawa mana-mana Ahli Parlimen yang sanggup menukar kesetiaan (demi mencukupkan angka sokongan) boleh mengembalikan pentadbiran PH dan seterusnya meningkatkan peluang memenangi PRU ke-15, saya tumpang gembira (walaupun saya tidak mahu terlibat).

Tambat semula hati rakyat

Malangnya, dari satu khemah ke khemah lain, ketaksuban kepada strategi gabungan politik ini makin menjauhkan PKR dan PH dari rakyat.

Apabila hari ini kita mengkritik dan kemudian esoknya kita berpacaran dengan orang yang kita kritik, lama-lama rakyat merasakan ini semua hanyalah drama Keluarga 69.

Lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak tumpuan diberikan kepada membentuk gabungan, usaha mengangkat derita rakyat dan menawarkan penyelesaian menjadi semakin sepi.

Saya terus mendapat desakan dari pendukung PKR dan PH dari kalangan rakyat biasa untuk kembali ke gelanggang politik. Saya mengambil masa yang panjang kerana saya tidak yakin saya boleh membantu keadaan dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti di kalangan pimpinan PKR dan PH.

Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga PKR dan PH nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat. Jika PKR dan PH ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan harian rakyat.

Bukan sahaja menuding jari, bawalah penyelesaian-penyelesaian yang masuk akal untuk meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika mereka memilih PKR dan PH.

Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai gabungan politik. Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan bergabung politik dari menambat hati rakyat.

Selepas keputusan PRN Johor, saya menyedari bahawa PKR dan PH telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas Umno/Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Saya menganggotai PKR sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai.

Sumbangan saya dalam menubuhkan PH dalam tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya. Saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu.

Pada pandangan saya, dengan perkembangan-perkembangan terbaru, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada di dalam bahaya jika PKR dan PH terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

Atas kesedaran itu, saya telah membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang.

RAFIZI RAMLI merupakan bekas ahli parlimen Pandan.

Tiada ulasan: