"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Wanita dakwa dicabul di hadapan ahli keluarga ketika rawatan tradisional'

Izad Thaqif Hassan

ALOR SETAR: Seorang penjawat awam wanita mendakwa dicabul pengamal perubatan ketika menjalani rawatan tradisional akibat gangguan mistik di rumah ibunya dekat Kulim pada Jumaat lalu.

Mangsa berusia 39 tahun mendakwa pengamal perubatan terbabit meraba bahagian sulitnya ketika melakukan rawatan berkenaan.

Sumber berkata, menurut ibu mangsa, anaknya itu mengalami gangguan mistik sejak 2017, didakwa akibat terkena santau namun sakitnya itu semakin teruk sejak seminggu lalu.

"Malah, wanita berkenaan kerap pengsan dan dirasuk sejak kebelakangan ini dan kejadian itu berlaku ketika malam yang berlanjutan hingga Subuh ketika berada di rumahnya.

"Kejadian paling teruk berlaku pada Khamis lalu apabila wanita berkenaan didapati menghilangkan diri selama sehari sebelum dia ditemui di pusat mengasuh anaknya dalam keadaan histeria," katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata, melihatkan keadaan yang makin teruk, ibunya mengambil keputusan membawa wanita itu pulang ke rumahnya di Kulim dan mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk merawat anaknya itu.

"Pengamal perubatan yang dipanggil tiba pada jam 11 pagi dan memulakan sesi rawatan sambil disaksi serta dibantu lima ahli keluarga mangsa termasuk ibu dan adik lelaki.

"Bagaimanapun, sesi rawatan itu terpaksa dihentikan dan disambung semula selepas solat Jumaat, namun ketika itu wanita terbabit mengambil kesempatan menghubungi polis kerana dia mendakwa dicabul," katanya.

Sumber berkata, anggota polis kemudian bergegas di rumah terbabit sebelum membawa wanita berkenaan keluar dan dia membuat satu laporan berhubung kejadian yang didakwa menimpanya itu.

"Bagaimanapun, ketika sesi temubual dijalankan, wanita berkenaan didapati kerap mengubah keterangan, selain emosinya juga dilihat agak terganggu dan mengalami tekanan.

"Malah, dia juga turut memarahi polis yang menyoalnya dan ada kala seperti hilang kawalan sehingga terpaksa ditenangkan beberapa kali anggota polis," katanya.

Sumber berkata, polis kemudian menjalankan siasatan di rumah ibunya dan mendapati kediaman terbabit dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) termasuk di lokasi wanita itu mendapatkan rawatan.

"Hasil semakan, kita meneliti rakaman CCTV dan melihat tiada sebarang kejadian mencurigakan seperti didakwa wanita itu ketika rawatan dijalankan terhadapnya.

"Pengamal perubatan memakai sarung tangan dan rawatan dilakukan di hadapan ahli keluarga wanita berkenaan yang ketika itu dilihat separuh sedar dan sesekali terbangun sambil melakukan tarian yang agak pelik," katanya. 

Katanya, siasatan masih dijalankan dan setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada semua individu berkenaan sejak semalam, namun ada beberapa ahli keluarga wanita itu tidak hadir kerana dikuarantin.

"Kita akan menjalankan siasatan secara terperinci dan sedang meneliti segala bukti yang ada serta keterangan yang diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: