"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Onn Hafiz angkat sumpah sebagai MB Johor

Malaysiakini

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang baru.

Majlis angkat sumpah nenteri besar Johor ke-19 itu diadakan di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Onn Hafiz, 44, ialah cicit kepada pengasas Umno Onn Jaafar yang juga bekas menteri besar ketujuh.

Onn Hafiz juga merupakan cucu saudara kepada perdana menteri ketiga Hussein Onn.

Anak saudara Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein itu dalam penggal lalu berkhidmat sebagai exco belia dan sukan dalam pentadbiran Hasni Mohammad.

Umno dikatakan mengemukakan tiga nama untuk diperkenan istana -iaitu Hasni sebagai penyandang, anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi dan Onn.

Hasni lewat petang semalam mencadangkan pemimpin muda menerajui kerajaan negeri.


-------

Malaysiakini 

Onn Hafiz teruskan legasi kepimpinan keluarga

Mempunyai darah kepimpinan yang mengalir dalam dirinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi kini meneruskan legasi keluarganya sebagai pemimpin penting Johor dan negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19.

Pelantikan Onn Hafiz, 43, yang merupakan piut kepada Menteri Besar pertama Johor Datuk Jaafar Muhamad menambah seorang lagi pemimpin daripada keluarga yang tidak asing dalam landskap politik negara itu yang menerajui Negeri Johor Darul Takzim.

Moyang beliau adalah pengasas dan Presiden pertama Umno Datuk Onn Jaafar yang juga Menteri Besar Johor ketujuh manakala datuk beliau, Tun Hussein Onn adalah Perdana Menteri ketiga Malaysia.

Onn Hafiz hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di Johor Bahru.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 Sabtu lepas, beliau menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan majoriti 6,543 undian menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN) dan R. Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)

Sebelum ini, beliau menyandang kerusi DUN Layang-layang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan pada 6 Mac 2020.

Di bawah portfolio beliau, beberapa program telah dilaksanakan meliputi pembangunan sukan dan belia termasuk penubuhan pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) dan juga membuka Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC).

Mendapat pendidikan dalam bidang perakaunan di University of Hertfordshire, United Kingdom (UK), Onn Hafiz mula aktif dalam politik apabila memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Sembrong, kemudian Ketua Pemuda Umno Sembrong dan selepas itu menjadi Naib Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika Hishammuddin menjadi Menteri Pertahanan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau menggantikan Datuk Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020.

- Bernama

Tiada ulasan: