"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas PRN Johor, kedudukan ‘kluster mahkamah’ dalam Umno jelas

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini telah melenyapkan sebarang keraguan mengenai kedudukan kelompok yang dipanggil “kluster mahkamah” dalam Umno, kata seorang penganalisis politik.

“Kluster mahkamah merujuk kepada pemimpin Umno, termasuk presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang sama ada sedang dibicarakan atau telah disabitkan atas dakwaan seperti pecah amanah jenayah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Profesor Madya Universiti Malaysia Sabah (UMS), Anantha Raman Govindasamy berkata, akan wujud peningkatan permintaan dalam Umno untuk menerima kenyataan bahawa ahli politik “kluster mahkamah” bukanlah suatu liabiliti.

Di sebalik serangan lawan Barisan Nasional (BN) terhadap “kluster mahkamah”, pemimpin seperti Najib berjaya menarik perhatian orang ramai ketika berkempen di Johor, sehinggakan Zahid berkata, beliau adalah “pengurus kempen sebenar” ketika gabungan itu meraih kemenangan dalam PRN Johor.

“Mereka adalah aset penting untuk memenangi semula Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang (PRU15),” kata Anantha kepada FMT merujuk kepada kelompok “kluster mahkamah”.

Beliau berkata, keputusan PRN Johor akan menyatukan pelbagai kelompok dalam Umno untuk menuntut PRU15 awal.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, kemenangan Umno di Johor tidak ada kaitan dengan “kluster mahkamah” semata-mata, tetapi kerana pengaruh Zahid dan Najib.

“Akar umbi Umno tidak melihat Najib sebagai sebahagian daripada ‘kluster mahkamah’. Mereka tahu beliau adalah orang yang boleh membawa Umno ke arah kemenangan dan meletakkan parti itu kembali berkuasa di peringkat persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun Chin berkata, kumpulan dalam parti yang tidak sehaluan dengan “kluster mahkamah” seperti Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan menghadapi cabaran besar tidak lama lagi.

“Tiada apa-apa yang akan berlaku kepada mereka sekarang. Mereka akan terus mentadbir kerajaan persekutuan, tetapi mereka akan diketepikan selepas PRU15,” katanya kepada FMT.

Chin berkata, Ismail yang juga naib presiden Umno dijangka berdepan tekanan daripada parti itu supaya mengadakan pilihan raya umum lebih awal.

“Kelompok (penyokong) Najib dan Zahid mudah memenangi pemilihan parti, tetapi itu bukan keutamaan mereka. Hadiah besar ialah menguasai semula kerajaan pusat dan itu hanya boleh dilakukan dengan PRU15,” katanya.

Felo Penyelidik Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan berkata, beliau bagaimanapun tidak percaya “kluster mahkamah” boleh menuntut semua kredit di Johor kerana pemimpin lain seperti Ismail dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga memainkan peranan penting.

Tiada ulasan: