"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Desakan disegerakan PRU-15, Umno begitu pasti mampu menang?

SHAHBUDIN HUSIN

Berdasarkan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden, Mohamad Hasan malam semalam, sebagaimana dijangka, adalah jelas bahawa desakan disegerakan PRU-15 akan menjadi agenda utama PAU kali ini.

Dengan petunjuk daripada ucapan Mohamad Hasan atau Tok Mat itu, perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri yang bermesyuarat hari ini pastinya akan menyambut isu yang sama tanpa banyak soal.

Seterusnya, apabila Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden Umno merasmikan PAU 2021 ini esok, tanpa keraguan juga, desakan menyegerakan PRU-15 akan lebih dipanaskan dalam intipati ucapannya.

Tidak mustahil, 80 peratus daripada ucapannya adalah berkisar tentang kewajaran mengadakan PRU-15 seawal yang mungkin dan bukannya pada tahun depan.

Sudah barang tentu, kalau pun tidak semua, majoriti perwakilan yang membahas ucapan beliau, tidak mahu ketinggalan untuk turut sama mendesak disegerakan PRU-15.

Pendek kata, desakan disegerakan PRU-15 akan menjadi agenda tunggal PAU tahun ini dan mengenepikan semua agenda lain seperti mengukuhkan parti serta memperkasa lagi kedudukan orang Melayu yang merupakan teras perjuangan Umno selama ini.

Soalan pokoknya, apakah Umno sudah begitu pasti mampu menang PRU-15 jika ia diadakan sekarang?

Melihat kepada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini iaitu Melaka dan Johor, kemenangan BN hanya dicapai melalui peratusan keluar mengundi yang rendah.

Ini bermakna, sebahagian lagi rakyat tidak berminat dengan pilihan raya dalam keadaan pandemik, di ketika ekonomi belum pulih dan sekadar melibatkan peringkat negeri saja.

Lalu, keputusan PRN Melaka dan Johor sebenarnya tidak harus dijadikan ukuran untuk mewajarkan PRU-15 diadakan lebih awal.

Apakah nasih BN jika rakyat tiba-tiba berminat keluar mengundi sebaik Parlimen dibubarkan kerana keinginan sebenar mereka ialah menukar kerajaan di peringkat pusat dan untuk mengembalikan mandat kepada blok pembangkang?

Apakah Umno sudah benar-benar bersedia menghadapinya?

Populariti Najib Razak

Menyandarkan populariti Najib Razak untuk memenangi PRU-15, terutama berdasarkan kemenangan di Melaka dan Johor, barangkali adalah perkiraan yang tidak tepat.

Di Melaka dan Johor, Najib tidak bertanding dan sekadar turun bersama rombongan yang besar ke medan-medan selera serta tempat tumpuan makan orang ramai, kemudian memuatkan aktiviti tersebut di laman sosial untuk menunjukkan sambutan orang ramai terhadapnya.

Apakah jika dalam PRU-15 awal nanti di mana Najib yang sudah didapati bersalah dan Zahid Hamdi yang sedang dalam perbicaraan mahkamah serta dilihat berpotensi untuk kembali memegang jawatan utama dalam kerajaan, maka rakyat masih mahu mengundi BN lagi?

Apakah rakyat tidak serik dengan kes 1MDB, cerita beg tangan, barang kemas dan berita-berita dalam mahkamah sewaktu perbicaraan kedua-dua mereka itu?

Desakan disegerakan PRU-15, Umno begitu pasti mampu menang?

Lebih 300 beg tangan jenama mewah dan duit tunai pelbagai mata wang antara yang disita dari kediaman Najib dan Rosmah pada Mei 2018.

Dalam hal ini, tidakkah jika pemilihan Umno diadakan terlebih dahulu dan pemimpin baru menerajui parti, maka wajah Umno lebih selamat sebagai pertaruhan untuk memenangi PRU-15?

Di sebalik kejayaan cemerlang BN di Johor, Umno ketika ini juga sebetulnya sedang ditimpa malapetaka berikutan kegagalan menunaikan janji meletakkan “poster boy”, Hasni Mohamad sebagai Menteri Besar.

Sementara kuasa Sultan Johor difahami dalam pelantikan tersebut, daripada sudut Umno, kegagalan meletakkan pilihan yang dipertaruhkan, seterusnya dipilih rakyat sebagai Menteri Besar adalah petanda kepimpinan Umno tidak mempunyai cukup kewibawaan untuk berunding.

Kepimpinan Umno juga dilihat tidak cukup mampu meyakinkan pihak istana dalam memenuhi tuntutan perjuangan yang diraih dengan kejayaan.

Apakah dengan kepimpinan yang sama yang dilihat tidak cukup berwibawa itu, jika berdepan dalam pilihan raya di peringkat Parlimen, ia masih mampu meyakinkan pengundi?

Soalan tepi dan terakhir, kenapa PRU-15 begitu didesak untuk diawalkan dan kepimpinan Umno sedia ada bagaikan begitu terdesak berbuat demikian?

Apakah jika Zahid Hamidi dan Najib tidak berdepan kes mahkamah, desakan menyegerakan PRU-15 ini akan tetap dilakukan secara terbuka, termasuk pertama kali dalam sejarah dengan menggunakan pentas PAU seperti tahun ini?

Tiada ulasan: