"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cikgu Fadli bebas tindakan tatatertib kerana PRU15 makin hampir

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik mendakwa Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan mendapati guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh tidak bersalah kerana pilihan raya umum ke-15 semakin hampir.

Katanya, perkara itu dimaklumkan guru terbabit dalam sesi perkongsiannya di Facebook sebentar tadi.

“Cikgu Fadli bernasib baik, dia digugurkan (tindakan tatatertib) kerana menjelang PRU isu ini meletup.

“Beliau mempunyai ramai pengikut (sosial media) dan beliau bersuara pada umum. Itu dari mulut Cikgu Fadli sendiri,” kata Maszlee menerusi sesi bual bicara dalam talian.

Terdahulu, Fadli berkongsi keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang membebaskan beliau daripada tiga tuduhan, susulan kelantangannya bersuara mengenai silibus pembelajaran yang didakwanya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Maszlee berkata, semasa menjadi menteri pendidikan di bawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, banyak aduan diterima berhubung guru yang dikenakan tindakan sama kerana bersuara lantang semasa pemerintahan Barisan Nasional.

Justeru, beliau mencadangkan guru yang pernah dikenakan tindakan sebelum pemerintahan PH untuk menularkannya kepada umum.

“Perkara ini bukan baharu. Cikgu Fadli sendiri katakan sebelum zaman saya (jadi menteri pendidikan) banyak yang terima nasib seperti beliau, namun tiada siapa nak bela dan berani bercakap dan mereka dibungkam tak boleh bersuara.”

Sebelum ini, Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus Matematik.

Guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu itu berkata, jumlah murid dalam kelas terlalu ramai, subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat boleh memudaratkan kesihatan murid.

Selepas mendedahkan keputusan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan hari ini, Fadli dilaporkan berkata, beliau didapati tidak bersalah kerana tekanan netizen.

“Kalau didapati bersalah, rakyat akan bangkit. Saya yakin tindakan ini kerana ada dendam orang tertentu terhadap saya. Ini kezaliman yang nyata dan kesalahan saya tak setimpal dengan denda yang hendak dikenakan.

“Saya dizalimi, sebab itu sokongan orang ramai nampak, orang tak kenal saya sebelum ini pun bila dia baca pertuduhan saya kerana menulis berkenaan silibus dan sebagainya, patutkah orang ini dibuang? Tak patut, sebab itu sokongan jadi melampau,” katanya.

Menurut Maszlee, ketika menjawat jawatan menteri pendidikan, dia tidak mengambil tindakan terhadap guru yang bersuara mengkritik kerajaan, atas sebab demokrasi.

“Tetapi ada tindakan diambil zaman saya iaitu salah laku seksual, cikgu yang culas tak datang (sekolah) dan sebagainya,” katanya.

Tiada ulasan: