"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Katak’ politik tak selamat pada PRU15

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Wakil rakyat yang melompat parti selepas dipilih pada 2018 dijangka berada dalam kedudukan yang tidak selamat apabila rakyat keluar mengundi bulan depan, kata seorang penganalisis.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, Ahli Parlimen yang melompat parti kini dianggap sebagai liabiliti.

“Mereka yang melompat parti ini tidak selamat. Pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, hanya seorang sahaja dipilih semula di Johor. Selebihnya dihukum oleh pengundi,” katanya kepada FMT.

Satu-satunya wakil rakyat yang melompat parti dan dipilih semula ialah Alwiyah Talib daripada Bersatu, di Endau, Johor. Beliau melompat dari Umno pada Mei 2018.

Selepas pilihan raya umum (PRU) 2018, 15 Ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

PKR mengambil Ahli Parlimen bebas Larry Sng (Julau) dan Jugah Muyang (Lubok Antu). Sng kemudiannya meninggalkan PKR untuk menubuhkan Parti Bangsa Malaysia (PBM), manakala Jugah menjadi wakil rakyat bebas.

Pada Mac 2020, sekumpulan Ahli Parlimen PKR bekerjasama dengan Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam “Langkah Sheraton” untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan ia memerintah.

Keadaan ini mendorong kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

Azmi berkata, bagi mereka yang melompat parti dan kini menganggotai PBM dan Bersatu, akan menjadi sukar untuk mereka dipilih semula, kecuali Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed yang telah memegang kerusi Parlimen Jeli selama 5 penggal.

Mustapa, atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, mewakili Jeli sejak 1995 tetapi tewas kepada Apandi Mohamad daripada PAS pada 1999, sebelum merampasnya semula pada 2004 dan PRU berikutnya.

“Jika beliau memutuskan untuk mempertahankan kerusi itu, beliau mempunyai peluang cerah untuk menang kerana Tok Pa sinonim dengan Jeli,” katanya.

Seorang lagi penganalisis, Anantha Raman Govindasamy daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, 90% daripada mereka yang melompat parti akan ditolak oleh pengundi. Hanya 10% atau kurang yang berkemungkinan dipilih semula.

“Sekalipun begitu, ini bergantung kepada politik keperibadian dan gabungan yang dibentuk,” katanya.

Tambahnya, pengundi bandar lebih cenderung untuk menghukum pelompat parti, berbanding dengan pengundi di kawasan separa bandar dan luar bandar di mana wakil rakyat disanjungi dalam komuniti tertentu.

Bagaimanapun, Anantha berkata, masih terlalu awal untuk meramalkan dengan tepat kerana terdapat banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan, seperti pakatan politik yang dibentuk, calon yang ditampilkan parti dan pertembungan banyak penjuru yang boleh memecahkan undi.

Wakil rakyat kini dilarang melompat parti oleh undang-undang anti-lompat yang berkuat kuasa pada 5 Okt.

Tiada ulasan: