"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar tanding di Tambun, jadi calon perdana menteri PH

Shaq Ismail dan Danial Azhar

IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Anwar ketika mengumumkan dirinya akan bertanding di kerusi itu berkata, beliau tidak memilih kawasan yang mudah dimenangi untuk bertanding.

“Saya tak memilih kawasan yang mudah, yang jamin majoriti besar. Saya ketuai, saya mengepalai dan berani tawan (Parlimen) Tambun dalam pilihan raya akan datang.

“Saya mahu rakan di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melihat keyakinan kita.

“Saya bukan tawan kerusi mudah, saya katakan saya mahu Perak bersama diangkat martabatnya, Perak jadi barisan harapan perjuangan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Ipoh.

Dalam majlis sama, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution mengumumkan Anwar dipilih sebagai calon perdana menteri gabungan itu, jika ia memenangi PRU15.

Terdahulu, Ketua DAP Perak yang juga Pengarah Konvensyen PH, Nga Kor Ming berkata, Perak banyak melahirkan pemimpin tersohor, namun tidak pernah ada perdana menteri datang dari negeri itu.

“Perak pernah melahirkan pemimpin tersohor, tetapi ada kurang, tak pernah ada PM dari Perak, inilah peluang keemasan kita,” katanya ketika berucap pada konvensyen itu.

Anwar meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenanginya dengan majoriti 23,560 undi, selepas menewaskan enam pencabarnya daripada PAS dan bebas pada pilihan raya kecil Oktober 2018.

Kerusi Parlimen Tambun kini disandang Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu, yang juga timbalan presiden Bersatu. Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,320 undi pada PRU14, menewaskan calon Barisan Nasional, Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria.

Sebelum ini, Faizal mengalu-alukan cadangan untuk Anwar bertanding di Tambun pada PRU15 dengan berkata, beliau tidak tergugat dengan mana-mana lawannya kerana ia proses yang perlu dilalui ahli politik dalam mendukung amalan demokrasi.

DAP Perak turut mempelawa Anwar bertanding di kerusi Parlimen negeri itu, terutamanya Tambun, yang disifatkannya kerusi disandang “pengkhianat” PH.

Tiada ulasan: